Sita Premis Jika Gagal Patuhi Waktu Operasi

Diterbitkan: Isnin, 29 Mei 2017 8:00 AM

GAMBAR HIASAN

(Ubah saiz teks)

AJIL: Kerajaan Negeri Terengganu akan menyita premis makanan yang beroperasi luar pada waktu yang ditetapkan sepanjang Ramadan bagi mengelak aktiviti yang tidak bermoral, kata Pengerusi Jawatankuasa Komunikasi, Multimedia dan Tugas-tugas Khas negeri, Ghazali Taib.

Ghazali berkata kerajaan negeri telah mengeluarkan arahan kepada pejabat agama di setiap daerah supaya memantau peniaga di bazar Ramadan atau restoran agar mematuhi peraturan berniaga yang telah ditetapkan sepanjang bulan puasa.

"Kami hanya membenarkan peniaga mula berada di premis perniagaan pada 2.30 petang terutamanya di bazar-bazar Ramadan kerana mereka datang untuk menyiapkan tempat perniagaan dan paling awal beroperasi di premis tersebut adalah pada 3 petang.

"Jika mereka ingkar dan wujud perkara yang mencurigakan serta perlanggaran arahan seperti makanan dijual kepada yang tidak berpuasa maka premis tersebut akan didenda dan disita serta-merta oleh penguat kuasa yang ada di setiap daerah mengikut bidang kuasa yang telah diperuntukkan. Jika mereka ini sudah mengikuti peraturan yang telah ditetapkan, kami akan benarkan mereka berniaga kembali," katanya.

Beliau ditemui pemberita ketika menziarahi dan memberi sumbangan peribadi kepada mangsa rumah terbakar di Felda Bukit Bading, Ajil di sini pada Selasa.

Terdahulu Ghazali sempat mengulas mengenai kaedah bantuan dan status sebuah rumah peserta Felda Bukit Bading yang terbakar pada Jumaat lalu pada 1.30 pagi.

"Pemilik terdahulu iaitu peserta asal rumah ini telah meninggal dunia dan kuasa untuk mengurus tadbir rumah dan tanah ini belum jelas identitinya siapa yang memberi kuasa kepada ketiga-tiga orang anaknya dan rumah tersebut kini didiami oleh cucu arwah.

"Kami boleh menyegerakan pembinaan rumah ini dan akan meminta Felda serta pewarisnya membuat perbincangan terlebih dahulu tentang pemilikan rumah ini dan jika perkara berkenaan selesai, kami tidak ada sebarang keberatan untuk membina semula dengan peruntukan RM40,000.

"Masalah kedua ialah kelulusan pembinaan baharu rumah ini kerana rumah di kawasan Felda tertakluk kepada bidang kuasa pihak Felda sendiri dan kebiasaannya rumah Felda mempunyai insurans. Kami akan teliti terlebih dahulu sejauh mana rumah ini dalam perlindungan insurans dan apa komitmen asal pemilik ini dari segi penglibatannya di Felda ini," katanya lagi. - BERNAMA

Tags / Kata Kunci: Ramadan , Terengganu

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan