Penularan Video Milo Tiruan Kes Lama - Berita Semasa | mStar

Penularan Video Milo Tiruan Kes Lama

Diterbitkan: Jumaat, 26 Mei 2017 5:46 PM

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) memandang serius isu penularan video melalui media sosial berkaitan dakwaan terdapat Milo tiruan di pasaran.

Sehubungan itu KPDNKK ingin menjelaskan bahawa, kes yang ditular tersebut adalah kes lama yang berlaku pada 13 Mac 2015 di Negeri Sembilan.

Kes tersebut adalah berkaitan Penggunaan Suatu Perihal Dagangan Palsu berhubungan dengan cap dagangan berdaftar bagi cap dagang Milo dan kes tersebut telah diambil tindakan di bawah Akta Perihal Dagangan.

Semua barang kes yang disita yang menggunakan perihal dagangan palsu tersebut telah dirampas dan pendakwaan telah dijalankan di Mahkamah Seksyen Harta Intelek, Seremban dimana mahkamah telah menjatuhkan hukuman denda sebanyak RM60,000 atau 12 bulan penjara dan semua barang kes dilupuskan dan tidak lagi berada di pasaran.

Sehubungan itu, KPDNKK menasihatkan pengguna agar lebih bijak dan peka apabila menerima sesuatu maklumat dan jangan mempercayai maklumat yang tidak disahkan.

Sebarang maklumat diterima perlu diselidik kesahihan terlebih dahulu sebelum menyebarkan maklumat tersebut.

Sebarang pertanyaan jika ada, sila hubungi talian 1MOCC 03-8000 8000, Pigos 03-88826088/6245, Hotline 1-800-886-800, Web e-aduan.kpdnkk.gov.my atau Faks 03-88826171.

Tags / Kata Kunci: Milo , KPDNKK
   

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan