PM Puji Mat Over, David Teo

Diterbitkan: Rabu, 24 Mei 2017 8:35 AM

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak menyaksikan Datuk Rosyam Nor bersalaman dengan David Teo selepas pembentangan Laporan Tahunan Program Transformasi Negara (NTP) 2016, malam Selasa. Turut kelihatan, pelawak Mat Over. -fotoTHESTAR/AzlinaAbdullah

(Ubah saiz teks)

SHAH ALAM: Kehadiran dua penggiat seni, yang menjadi bualan hangat netizen baru-baru ini, pada pembentangan Laporan Tahunan Program Transformasi Negara (NTP) 2016 di sini malam Selasa menarik perhatian Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak.

Najib, yang baru tujuh minit membentangkan laporan NTP, menjadikan penerbit filem David Teo dan pelawak Sulaiman Yasin atau Mat Over sebagai contoh semangat bersatu-padu dalam kalangan rakyat.

Sambil tersenyum memandang Teo dan Mat Over yang duduk di barisan hadapan di Dewan Agong Tuanku Canselor (DATC) Universiti Teknologi MARA (UiTM), perdana menteri berkata: "Ni, depan saya ni, nampaknya saudara Mat Over pun hadir dan Mejar David Teo pun ada. Duduk sama-sama lagi...macam ni la bagus.

"Ini yang saya mahu sebagai PM (perdana menteri) dan kerajaan hendak lihat rakyat kita bersatu-padu...barulah Malaysia akan berjaya," katanya sambil mendapat tepukan gemuruh daripada hadirin termasuk penjawat awam dan pekerja swasta, mahasiswa serta tetamu jemputan.

Turut hadir pada pembentangan NTP itu ialah pelakon dan penerbit Datuk Rosyam Nor yang duduk di sebelah Teo.

Ketika membentangkan laporan NTP itu, perdana menteri turut meminta rakyat supaya menghindari pergaduhan dan sentiasa berbaik serta saling tolong-menolong supaya negara terus aman dan makmur.

Pada Dialog Transformasi Nasional 2050 (TN50) bersama Penggiat Seni di Seri Perdana, Putrajaya minggu lepas, Mat Over menampar Teo yang didakwanya bersikap biadap di hadapan Najib.

Rosyam, yang bertindak sebagai moderator pada dialog itu, juga dikaitkan dengan insiden itu yang berakhir dengan sesi bermaafan di antara Teo dan Mat Over. -Bernama

Tags / Kata Kunci: David Teo , Mat Over , Najib Razak

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan