9 Anak Kapal, 51 Jam Di Laut, 10 Botol Air Mineral

Diterbitkan: Selasa, 23 Mei 2017 7:00 PM

Anggota TLDM Mohd Akmal Nizam Amdan, 29, menangis ketika mencium anak sulungnya Muhammad Aryyan Rizqi, dua, sebaik tiba di Pangkalan TLDM Tanjung Gelang selepas hilang tiga hari di Perairan Tanjung Sedili, Selasa. -fotoBERNAMA

(Ubah saiz teks)

KUANTAN: Air mineral, semangat diri dan ingatan kepada orang tersayang menjadi penguat semangat kepada sembilan anak kapal KD Perdana semasa hanyut selama 51 jam di laut Sabtu lalu.

Kaptennya Leftenan Mohd Hidir Yusof berkata airnya pula terpaksa dicatu dalam kalangan mereka.

"Semasa hari pertama dan kedua, bekalan air masih mencukupi. Namun apabila masuk hari ketiga dan melihat kepada keadaan kami yang masih belum ditemui (pihak penyelamat), saya mengambil keputusan untuk mencatu bekalan air memandangkan bekalannya hanya tinggal antara lapan hingga 10 botol air mineral bersaiz 500 milimeter.

"Kami hanya minum seteguk seorang tiga kali sehari, pagi, petang dan malam sebelum tidur. Jika kami masih tidak ditemui dalam beberapa hari lagi, tidak tahulah apa yang akan berlaku kepada kami," katanya kepada pemberita di sini Selasa.

Kepulangan mereka disambut oleh Panglima Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM), Laksamana Tan Sri Ahmad Kamarulzaman Ahmad Badaruddin di Markas Laut Wilayah 1 (MAWILLA 1), Pangkalan TLDM Tanjung Gelang di sini.

Turut sama menyambut ketibaan mereka Panglima MAWILLA 1, Laksamana Muda Datuk Mohd Redza Mohd Sany serta kaum keluarga mereka.

Sebaik tiba pada pukul 10 pagi itu, mereka kelihatan berpeluk-pelukan dan bertangis-tangisan dengan anggota keluarga yang sedia menanti.

Menceritakan kejadian yang mereka alami, Mohd Hidir berkata mereka sedang melakukan operasi untuk mengusir 10 buah bot nelayan asing yang menceroboh perairan negara.

"Dalam usaha mengejar selepas tiga jam itu, radio perhubungan kami rosak dan bot kami kehabisan minyak. Bot kami hanyut sehingga ke laut terbuka di kawasan yang jarang dilalui oleh bot nelayan asing mahupun kapal dagang," katanya.

Namun petang semalam bot mereka dikesan sebuah kapal dagang.

Laskar Kanan, Zulhusni Sherhutdin pula berkata selepas bot mereka kehabisan minyak, mereka mendayung menggunakan tangan.

"Pada malam pertama hanyut, kami melihat daratan yang kami percaya Pulau Aur. Tetapi pada esoknya, kami dapati pulau tersebut telah hilang dan kami berada di tengah lautan dengan keadaan sekeliling yang kelihatan bukan sebagai daratan. Apa yang saya mampu lakukan ketika itu hanya berdoa semoga kami semua ditemui selamat," katanya.

Sementara itu bapanya Sherhutdin Omar berkata tiada perkataan yang dapat menggambarkan perasaan syukur dan gembira sebaik menerima panggilan memaklumkan anak ketiga daripada empat beradik itu ditemui selamat petang semalam.

"Sejak terima perkhabaran tentang kehilangan anak saya pada malam Ahad kami sekeluarga tidak lena tidur dan resah sepanjang masa. Malah kami sekeluarga serta saudara mara turut membuat solat hajat.

"Kami bergegas dari Arau (Perlis) awal pagi ini sebaik dikhabarkan beliau akan tiba di Pangkalan TLDM pagi ini," katanya. - Bernama

Tags / Kata Kunci: KD Perdana , air mineral

iklan

Video

Isnin, 11 Disember 2017 9:00 AM

#BiziBody : De Fam Kantoi Gambar Selfie

Ahad, 10 Disember 2017 9:00 AM

#akuStar: Aziz Harun - Jangan

Jumaat, 8 Disember 2017 10:55 PM

Abam Bocey Malu Manja Dengan Isteri Depan Kamera

Jumaat, 8 Disember 2017 8:15 PM

Malaysia Tak Diam Diri, Terus Bela Nasib Palestin

Jumaat, 8 Disember 2017 2:02 PM

Zarul Husin Takut Tua

Jumaat, 8 Disember 2017 9:00 AM

#akuStar: Awi Rafael - Kau Di Hatiku

Khamis, 7 Disember 2017 8:00 PM

Nadzmi Adhwa Dikurung Selepas Kantoi Dadah

Rabu, 6 Disember 2017 2:00 PM

"Makin Ramai Nak Taja Saya" - Wany Hasrita

Kolumnis

iklan

Iklan