Mahathir Tandatangani Petisyen Bebaskan Anwar - Berita Semasa | mStar

Mahathir Tandatangani Petisyen Bebaskan Anwar

Diterbitkan: Ahad, 21 Mei 2017 6:23 PM

(Ubah saiz teks)

SHAH ALAM: Pengerusi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) Tun Dr Mahathir Mohamad menandatangani petisyen untuk membebaskan ‘musuh’nya satu ketika dahulu Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Dr Mahathir, yang menjadi perdana menteri  selama 22 tahun, berbuat demikian ketika hadir pada Kongres Nasional Tahunan Parti Keadilan Nasional (PKR) ke-12 di sini, pada Sabtu bersama isterinya Tun Dr Siti Hasmah Mohd Ali.

Ketika diminta mengulas, Dr Mahathir mengakui bahawa beliau mahu Anwar, yang menjadi Timbalan Perdana Menteri sewaktu zaman pemerintahannya, dibebaskan.

“Ya saya menggesa supaya beliau dibebaskan… bukan saya yang menyebabkan beliau dipenjarakan, itu cerita lama...” katanya kepada pemberita.

Kongres yang dianggap perwakilan PKR sebagai yang terakhir sebelum Pilihan Raya Umum ke-14 itu  turut meletakkan pelantikan Anwar sebagai Perdana Menteri Malaysia ke-7 sebagai agenda utama.

Turut hadir Presiden PKR Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail, Presiden  PPBM Tan Sri Muhyiddin Yassin, Menteri Besar Selangor Datuk Seri Mohamed Azmin Ali dan pemimpin veteran DAP, Lim Kit Siang. -Bernama

   

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan