Budak 'Viking' Teringin Jadi Melayu

Diterbitkan: Jumaat, 19 Mei 2017 10:00 AM

(Ubah saiz teks)

PETALING JAYA: Menangis ketika dipanggil anak 'Mat Salleh' oleh ibunya, kanak-kanak berusia enam tahun ini sanggup belajar menyanyi lagu Melayu klasik.

Dalam satu video tanpa visual yang dikongsikan di laman sosial Instagram @super_something pada 8 Mac lalu, kanak-kanak cilik, Maia Sofie Maimunah Oestreich atau mesra disapa Munah itu fasih mendendangkan lagu 'Suriram' yang menjadi lagu kegemarannya.

Munah yang berusia enam tahun itu 'berduet' dengan adiknya Adinda Freyja Zainab Oestreich (Adinda), 2, menyanyikan lagu tersebut kerana terlalu ingin menjadi Melayu dan berpendapat orang Melayu sangat cantik.

Berdarah campuran Melayu sebelah ibunya dan Norway sebelah bapanya, Munah dan Adinda dianugerahkan dengan wajah yang sangat comel dan rambut yang keperangan.

Keunikan wajah dua beradik ini turut menarik perhatian jenama pakaian di Norway iaitu Nøstebarn untuk menjadikan mereka model pakaian kanak-kanak syarikat tersebut.

Ibu kedua-dua beradik itu, Ardiana Abdul Azam, 34, berkongsi cabaran mengajar anak-anaknya bertutur Bahasa Melayu sepanjang lapan tahun menetap di Bergen, Norway.

"Mula-mula berkahwin dulu memang tiada niat nak menetap di sini (Norway) sebab dah berjanji dengan suami untuk berpindah ke Malaysia selepas dua atau tiga tahun.

"Sebenarnya tak ada cabaran sangat, cabaran itu lebih kepada diri sendiri. Berapa kuat (berpegang pada) asal-usul kamu," katanya ketika dihubungi mStar pada Selasa.

Kata wanita yang berasal dari Jerantut, Pahang ini, anaknya, Adinda masih belum boleh bertutur dengan baik kerana masih kecil, manakala Munah pula boleh berbahasa Inggeris, Norway dan Melayu.

"Setakat ni, Munah sahaja yang fasih sedikit bahasa Melayu. Memang dia ada pelat sedikit tapi itu perkara biasa.

"Lagipun, pengaruh Bahasa Melayu yang dipelajarinya di sini hanya daripada saya. Tiada rumpun (masyarakat) Melayu lain di sini," ujarnya.

Lebih menarik, pada asalnya Munah menggunakan kata ganti diri 'aku' ketika berbual dengan ibunya.

Sudah pasti ia kedengaran sedikit janggal bagi kebanyakan masyarakat Malaysia kerana perkataan 'aku' itu sering digunakan apabila berinteraksi secara tidak formal antara rakan sebaya.

Bagaimanapun, Ardiana tidak mengganggap perbuatan anaknya itu kurang sopan kerana berpendirian bahawa kata ganti diri 'aku' juga digunakan ketika berdoa kepada Tuhan.

Kini, Munah sudah pandai menggunakan kata ganti diri 'saya' selepas dihantar ke tadika oleh datuknya sewaktu mereka sekeluarga pulang bercuti selama tiga bulan pada tahun 2015.

"Dia dengar kawan-kawan dia gunakan 'saya' dan dia pun mula menukarnya," jelasnya.

Mengulas cerita di sebalik nama anak-anaknya, Ardiana menamakan anaknya nama-nama Melayu klasik seperti Maimunah dan Zainab sempena nama dua arwah neneknya sebagai menzahirkan rasa cinta kasih kepada mereka.

Video keletah Munah dan Adinda boleh ditonton di Instagram dengan carian 'hashtag', #bideomakmunah.

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan