Selangor Berdepan Krisis

Diterbitkan: Khamis, 18 Mei 2017 9:52 AM

(Ubah saiz teks)

PETALING JAYA: Krisis politik di Selangor semakin teruk apabila PAS mengugut untuk menarik diri daripada kerajaan negeri jika Datuk Seri Azmin Ali memaksa tiga exco parti itu di negeri berkenaan meletak jawatan.

Kepimpinan PAS Selangor memutuskan bahawa semua 13 wakil rakyatnya akan melepaskan jawatan dalam kerajaan negeri jika pihak menteri besar terus menerima tekanan daripada rakan-rakan Pakatan Harapan untuk meminggirkan PAS.

Ancaman tersebut, jika benar-benar dilakukan, akan 'menggoyahkan' kerajaan Selangor kerana ia akan menyebabkan Pakatan Harapan hanya mempunyai 29 wakil rakyat di Dewan Undangan Negeri, dari 56 kerusi keseluruhan.

Pakatan Harapan kini mempunyai 14 wakil rakyat daripada DAP, 13 daripada PKR dan dua daripada Parti Amanah Negara (Amanah).

Keputusan PAS itu dibuat pada mesyuarat lewat malam Selasa yang dipengerusikan Ketua Pesuruhjaya PAS Selangor yang baharu dilantik, Sallehen Mukhyi, yang juga Ahli Dewan Undangan Negri (Adun) Sabak Bernam.

Sallehen telah ditugaskan untuk menyampaikan keputusan itu kepada jawatankuasa pusat parti yang dijadual mengadakan pertemuan hari ini.

Mesyuarat pada Selasa dihadiri semua ketua bahagian PAS Selangor di mana mereka diberikan kemas kini oleh Sallehen mengenai krisis politik yang melanda kerajaan negeri berikutan keputusan Majlis Syura menamatkan hubungan dengan PKR.

Sallehen juga memberi taklimat kepada mereka mengenai pertemuan beliau dengan Azmin di mana menteri besar meminta tiga anggota exco PAS negeri meletakkan jawatan.

Mereka ialah Datuk Iskandar Samad, Datuk Ahmad Yunus Hairi dan Zaidy Abdul Talib.

Sumber dalaman PAS berkata, mesyuarat itu tidak membincangkan tentang apa yang parti akan lakukan jika ia keluar dari kerajaan negeri.

"Terdapat banyak pilihan tetapi terpulang kepada rakyat untuk buat tafsiran," kata sumber itu.

Jika ancaman PAS itu menjadi kenyataan, pembangkang baharu untuk Pakatan Harapan di negeri itu akan terdiri daripada 13 dari PAS, 11 dari Umno dan dua calon Bebas.

Terdapat spekulasi bahawa bekas Menteri Besar Selangor, Tan Sri Khalid Ibrahim bakal membuat kemunculan semula dan dia dikatakan mengintai untuk melompat ke parti lain.

Biro politik PKR juga bermesyuarat pada Selasa.

Mesyuarat itu, yang dipengerusikan Presiden PKR, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail memutuskan untuk semua lantikan politik di Kelantan meletak jawatan berkuatkuasa serta merta.

Mengenai panggilan untuk PAS disingkirkan daripada kerajaan Selangor, beliau berkata, ia akan diputuskan bersama Azmin yang kini dalam rangka lawatan kerja ke Brussels.

Tekanan ke atas Azmin yang juga Timbalan Presiden PKR, untuk bertindak terhadap PAS semakin memuncak dengan beberapa pemimpin DAP menggesa beliau menggugurkan PAS dari pentadbirannya.

Terdapat juga tekanan dalaman dari PKR yang mengadakan kongres nasional hujung minggu ini.

Kenyataan Majlis Syura PAS yang mengkritik PKR kerana tidak menyokong agenda Islam PAS juga telah mencetuskan kemarahan ahli-ahli PKR.

Menurut Timbalan Menteri Besar Kelantan, Datuk Mohd Amar Nik Abdullah, PKR mempunyai kira-kira 100 lantikan politik yang memegang jawatan sebagai ahli majlis perbandaran, penyelaras pilihan raya, penghulu dan ahli lembaga pengarah GLC.

Adun Guchil Mohd Roslan Puteh adalah wakil rakyat tunggal PKR di Kelantan.

Mohd Amar berkata, kerajaan Kelantan tidak akan memaksa wakil PKR yang dilantik itu meletak jawatan dan terpulang kepada mereka untuk membuat keputusan.

Langkah PKR dilihat sebagai memaksa PAS di Selangor. Bagaimanapun, PAS enggan berganjak daripada kerajaan Selangor atas alasan mandat yang diberikan rakyat pada pilihan raya umum 2013.

Ini kali kedua Selangor sedang berjuang melawan krisis politik dalaman.

Kerajaan negeri telah 'bergegar' dua tahun lalu apabila DAP dan PKR menggulingkan Khalid sebagai menteri besar.

Tags / Kata Kunci: krisis politik , Selangor , Azmin Ali

iklan

Video

Jumaat, 21 Julai 2017 3:00 PM

Nadzmi Adhwa Bolot Semua 'Job'

Jumaat, 21 Julai 2017 11:09 AM

Lagak Lelaki Ini Seperti…

Jumaat, 21 Julai 2017 9:00 AM

#akuStar: iR Radzi - Cinta Terakhir

Khamis, 20 Julai 2017 3:30 PM

Luahan Ezlynn Beraya Tanpa Zuriat

Khamis, 20 Julai 2017 12:30 PM

Diana Muntah, Mabuk Teruk - Zamarul

Rabu, 19 Julai 2017 5:00 PM

Sauk Jangan Tak Sauk...

Rabu, 19 Julai 2017 3:27 PM

Beraksi 'Ghairah'? OK Je Kalau...

Rabu, 19 Julai 2017 1:20 PM

Ulat Buku Naik Superbike

Kolumnis

iklan

Iklan