Ransomware: Bayar Atau Tidak?

Diterbitkan: Rabu, 17 Mei 2017 9:10 AM

(Ubah saiz teks)

PETALING JAYA: Seorang pakar keselamatan IT menasihatkan mangsa serangan WannaCry untuk tidak membayar wang tebusan bagi mendapatkan semula data mereka.

"Tidak ada jaminan fail akan diperolehi semula dan anda tidak harus menyokong penjenayah," kata pengasas syarikat perkhidmatan keselamatan LGMS, C.F. Fong kepada The Star.

Ransomware WannaCry yang menjangkiti ratusan ribu komputer di lebih dari 150 buah negara, menyulitkan data komputer atau rangkaian mangsa.

Pelaku berjanji untuk melepaskan semula data jika mereka dibayar AS$300 (RM1,300) dalam bentuk mata wang siber, Bitcoin oleh setiap mangsa.

Fong berkata, syarikatnya menyedari sekurang-kurangnya 12 organisasi di Malaysia dilanda WannaCry, termasuk sebuah syarikat pelaburan, sebuah firma insurans, sebuah syarikat senarai awam dan sebuah syarikat berkaitan kerajaan.

"Situasi sebenarnya boleh menjadi lebih teruk," katanya, sambil menambah setakat yang diketahuinya, tiada mangsa membayar wang tebusan yang dituntut oleh penggodam.

CyberSecurity Malaysia (CSM) berkata sehingga Selasa, pihaknya hanya menerima satu laporan rasmi jangkitan virus berkenaan, daripada sebuah institusi akademik.

"Kami menganggap ada kejadian yang tidak dilaporkan," kata Ketua Pegawai Eksekutif CSM Datuk Dr Amirudin Abdul Wahab dalam satu kenyataan.

Amirudin berkata serangan Ransomware bukanlah satu ancaman siber baharu kerana agensi itu sebelum ini telah menerima laporan berkaitan dengan Cryptolocker, Cryptowall, CBT Locker, Teslacrypt Locky dan beberapa jenis Ransomware.

"Ia disasarkan kepada pengguna individu dan perniagaan," katanya.

Tags / Kata Kunci: Ransomware , WannaCry , godam

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan