PAS Sedia Lepas Jawatan Di Selangor

Diterbitkan: Sabtu, 13 Mei 2017 10:42 AM

Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man

(Ubah saiz teks)

PETALING JAYA: PAS mungkin terpaksa akur jika benar Menteri Besar Selangor Datuk Seri Mohamed Azmin Ali meminta tiga exconya melepaskan jawatan dalam kerajaan negeri.

Timbalan Presiden PAS Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man berkata walaupun belum mendapat maklumat lengkap, beliau maklum bahawa pelantikan exco terletak di bawah bidang kuasa Sultan.

"Bagi PAS, kita akur sebab pelantikan exco ini di bawah kuasa Tuanku Sultan Selangor (Sultan Sharafudin Idris Shah).

"Jadi pihak PAS kita akurlah kalau (benar) ia sudah dapat perkenan Tuanku Sultan," katanya ketika dihubungi mStar Online, Sabtu.

Tuan Ibrahim berkata demikian sebagai mengulas laporan The Star pada Sabtu bahawa Azmin telah membuat permintaan mengejutkan itu semasa mesyuarat dengan tiga exco PAS negeri yang berlangsung selama satu jam.

Tiga exco berkenaan adalah Datuk Iskandar Samad, Datuk Dr Ahmad Yunus Hairi dan Zaidy Abdul Talib.

Mengulas lanjut Tuan Ibrahim berkata beliau bagaimanapun tetap akan mendapatkan pengesahan daripada tiga exco berkenaan dan Azmin sendiri terlebih dahulu sebelum membuat keputusan muktamad.

"Saya kena dapat pengesahan yang betul dulu, secepat mungkin.

"Saya pun sebenarnya belum dapat pengesahan daripada exco kita di Selangor, saya akan dapatkan pengesahan mereka dan pengesahan daripada Datuk Seri Azmin tentang isu ini," katanya yang berada di Perak ketika dihubungi.

Azmin dilaporkan memanggil mesyuarat itu berikutan keputusan Majlis Syura PAS pada Khamis menamatkan kerjasama politik atau tahaluf siyasi dengan PKR.

Dilaporkan, Azmin telah memberi jaminan bahawa PAS masih boleh kekal sebagai sebahagian daripada kerajaan negeri selaras dengan mandat kemenangannya pada pilihan raya umum 2013.

Wakil PAS juga dilaporkan akan terus menikmati peruntukan pembangunan negeri, kekal sebagai ahli majlis perbandaran dan jawatankuasa kampung.

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan