Mufti WP Dilantik Ahli Lembaga Penasihat Darussyifa

Diterbitkan: Sabtu, 13 Mei 2017 2:04 PM

Datuk Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri

(Ubah saiz teks)

BANGI: Mufti Wilayah Persekutuan, Datuk Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri dilantik sebagai Ahli Lembaga Penasihat Persatuan Perubatan, Pengubatan dan Kebajikan Islam Malaysia (Darussyifa) yang berperanan sebagai sumber rujukan dalam hal berkaitan agama.

Turut dilantik adalah Presiden Persatuan Peguam-Peguam Muslim Malaysia, Datuk Zainal Rijal Abu Bakar dan Pakar Perunding Otorhinolaryngologi Hospital Serdang, Dr Mohamad Doi yang masing-masing dipertanggungjawab memberi pandangan dan nasihat dalam hal berkenaan undang-undang dan perubatan moden.

Pengerusinya Abdul Rahman Ahmad berkata pelantikan itu akan memudahkan jawatankuasa Darussyifa membuat rujukan serta mendapat pandangan secara spesifik daripada pakar berkaitan dalam menjalankan urusan seharian, sekali gus memperkasakan lagi perkhidmatan yang ditawarkan.

Beliau berkata setelah ketiadaan Datuk Dr Haron Din yang merupakan pengasas dan juga sumber rujukan utama dalam perjalanan pusat itu, pihaknya berpendapat Darussyifa memerlukan satu badan atau individu yang boleh berperanan memberi nasihat dalam tiga hal utama iaitu agama, undang-undang dan perubatan moden.

"Dulu semasa Allahyarham masih ada, semua persoalan berkaitan pentadbiran dan tiga perkara tersebut dirujuk kepada arwah dan saya sebagai pengerusi hanya laksana apa yang beliau katakan.

"Walaupun tidak berdepan masalah dalam membuat keputusan ketika ini kerana Darussyifa dipandu perlembagaan dan jawatankuasa, tetapi kami berpendapat kehadiran tiga pakar dalam bidang tersebut diperlukan dalam melonjakkan lagi kecemerlangan institusi selepas ketiadaan pengasasnya," katanya pada majlis penyerahan watikah pelantikan itu di ibu pejabat Darussyifa di sini.

Abdul Rahman berkata pemilihan ketiga-tiga tokoh itu dibuat melalui cadangan yang dikemukakan pengarah-pengarah Darussyifa negeri berdasarkan ketokohan, bidang, kemahiran serta peranan dalam komuniti sebelum keputusan akhir diputuskan bersama oleh semua ahli jawatankuasa Darussyifa.

Beliau berkata walaupun telah memiliki individu dengan pelbagai kepakaran dalam jawatankuasa pengurusan di Darussyifa, institusi tersebut masih memerlukan idea dan kepakaran dari tiga ahli lembaga penasihat yang baharu itu dalam melonjakkan keupayaan Darussyifa antaranya sasaran menawarkan pengajian peringkat diploma dalam bidang perubatan Islam sepertimana dihasratkan Allahyarham Dr Haron.

Haron yang juga bekas Mursyidul Am PAS meninggal dunia pada 16 September 2016 di Hospital Standford, San Francisco, Amerika Syarikat ketika menjalani rawatan sakit jantung.

Ditubuhkan secara rasmi pada April 1988, Darussyifa kini memiliki 86 pusat rawatan di semua negeri di seluruh negara.

Dalam pada itu, Zainal Rijal berkata pelantikan tersebut memberi lebih peluang kepadanya untuk menyumbang sesuatu kepada Darussyifa, institusi yang dianggap penting dalam memartabatkan rawatan perubatan Islam kepada masyarakat.

Katanya sebagai ahli Darussyifa dan bekas anak murid Allahyarham, beliau komited meneruskan usaha menggemilangkan institusi dalam mendepani cabaran semasa terutamanya yang berkaitan undang-undang.

"Pelantikan ini mungkin atas sebab tertentu seperti keakraban dengan Almarhum, selain bayangan yang pernah dinyatakan tuan guru yang mahu saya ''tengok-tengokkan'' Darussyifa jika beliau telah tiada," katanya.

Bagi Dr Mohamad, pelantikan itu merupakan satu pengiktirafan namun sedar tanggungjawab besar menantinya kerana Darussyifa merupakan satu nama besar yang perlu terus dipertahan dan diperteguhkan. -Bernama


Tags / Kata Kunci: Darussyifa , Mufti WP , Abdul Rahman Ahmad

iklan

Video

Khamis, 21 September 2017 9:00 AM

Popular? Tolak Tepilah! - Bob (AF2)

Rabu, 20 September 2017 4:00 PM

Irfan Haris Nafi Tumpang Populariti Kakak

Selasa, 19 September 2017 2:00 PM

Keluh-Kesah Jalil Hamid

Selasa, 19 September 2017 9:00 AM

Kau Buat #OOTD Pun Riaklah! - Wak Doyok

Isnin, 18 September 2017 2:30 PM

Belum Masa Gantung Skrip – Naim Daniel

Jumaat, 15 September 2017 2:00 PM

Cassidy Malu Cakap Melayu?

Jumaat, 15 September 2017 9:00 AM

#akuStar: Payslip - Semangat Yang Hilang

Kolumnis

iklan

Iklan