Anwar Pertikai Motif Majlis Syura - Berita Semasa | mStar

Anwar Pertikai Motif Majlis Syura

Diterbitkan: Sabtu, 13 Mei 2017 3:21 PM

Datuk Seri Anwar Ibrahim

(Ubah saiz teks)

PETALING JAYA: Pemimpin PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim mempersoalkan tindakan Majlis Syura Ulama PAS memutuskan hubungan dengan parti itu yang terjalin sejak tahun 1998.

Dalam satu kenyataan pada Sabtu, Anwar, yang sedang menjalani hukuman penjara selama lima tahun atas kesalahan liwat berkata, beliau menghargai pemimpin-pemimpin PAS seperti Allahyarham Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat, Allahyarham Datuk Fadzil Noor dan Datuk Seri Abdul Hadi Awang yang bekerjasama dengan PKR untuk menentang Umno dan Barisan Nasional (BN).

"Namun, saya musykil kerana alasan yang diberikan tidak tepat, terutama dalam kaitan dengan RUU355.

"Ternyata pimpinan PAS tidak meneliti kenyataan saya dan presiden PKR yang menghormati hak Abdul Hadi dan mengusulkan supaya dirujuk kepada Jawatankuasa Pilihan," katanya dalam kenyataan tersebut.

Anwar berkata, PKR telah melakukan segala-galanya untuk mengekalkan muafakat politik itu dan ia dilakukan untuk membawa perubahan kepada rakyat Malaysia.

"Saya mengulangi kenyataan presiden PKR bahawa parti tidak pernah mengkhianati prinsip tahaluf siyasi semenjak terbentuknya muafakat politik walaupun ada pihak yang mentohmah PKR dengan tohmahan yang tidak adil dan tidak wajar," katanya.

Anwar juga menegaskan bahawa kewujudan PKR hanyalah dengan satu matlamat, iaitu untuk mengalahkan Umno dan BN yang didakwanya mengamalkan kleptokrasi dan rasuah, serta mengakibatkan kenaikan kos sara hidup yang menjejaskan rakyat.

Beliau berkata perkembangan politik terkini ini menjejaskan kerajaan negeri Selangor yang dipimpin oleh Menteri Besar Datuk Seri Azmin Ali, yang juga timbalan presiden PKR.

"Saya yakin Azmin terus menerajui negeri Selangor berdasarkan mandat penuh rakyat dan khidmat rakyat yang dicurahkan selama ini," katanya.

Majlis Syura PAS pada Khamis memutuskan untuk menamatkan kerjasama politik parti itu dengan PKR.

Tags / Kata Kunci: tahaluf siyasi , Anwar Ibrahim , Majlis Syura
   

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan