Sallehen Mukhyi Pesuruhjaya PAS Selangor Baharu

Diterbitkan: Rabu, 10 Mei 2017 8:49 AM

Sallehen Mukhyi

(Ubah saiz teks)

SHAH ALAM: PAS Selangor mengumumkan Yang Dipertua PAS Sabak Bernam, Sallehen Mukhyi sebagai pesuruhjaya negeri yang baharu menggantikan Datuk Iskandar Abdul Samad.

Sallehen yang juga Anggota Dewan Undangan Negeri (Adun) Sabak dilantik hasil mesyuarat badan perhubungan PAS Selangor yang pertama pada Selasa untuk penggal 2017/2019.

Selain pesuruhjaya, dua timbalan pesuruhjaya baharu turut dilantik pada mesyuarat itu iaitu Mohd Haslin Hassan (Timbalan Pesuruhjaya II) dan Mohd Zamri Zainuldin (Timbalan Pesuruhjaya III).

Bagaimanapun, Datuk Dr Ahmad Yunus Hairi kekal sebagai Timbalan Pesuruhjaya I.

Menurut Sallehen, fokus utama jawatankuasa baharu itu adalah memastikan kemenangan PAS pada pilihan raya umum (PRU) akan datang biarpun rakan sekutunya DAP telah memutuskan tahaluf siyasi dan kini menunggu keputusan Majlis Syura Ulama mengenai kedudukan hubungan dengan Parti Keadilan Rakyat (PKR).

"Kita akan teruskan kerja-kerja yang dirancang jawatankuasa perhubungan sebelum ini dan akan tambah baik mana-mana yang tertinggal demi memenangkan parti," katanya kepada pemberita dalam satu sidang media, di sini malam Selasa.

Dalam pada itu, Sallehen berkata parti Islam itu akan bertanding sekurang-kurangnya 45 kerusi DUN pada pilihan raya umum akan datang berbanding 20 kerusi sebelum ini.

Bagaimanapun katanya isu pembahagian kerusi dengan PKR bergantung kepada keputusan Majlis Syura Ulama dan sekiranya ''terpaksa'' berpisah, pihaknya akan berbincang untuk menambah jumlah kerusi yang akan dipertandingkan. -Bernama

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan