Guru Jangan Takut Lapor Kegiatan Gengsterisme

Diterbitkan: Rabu, 10 Mei 2017 2:39 PM

(Ubah saiz teks)

PADANG TERAP: Golongan pendidik tidak perlu takut untuk tampil menyuarakan masalah gengsterisme di sekolah kerana keselamatan mereka dijamin, kata Datuk Seri Mahdzir Khalid.

Jelas menteri pendidikan itu, ia kerana kementerian sendiri sentiasa menjalin kerjasama rapat dengan pihak berkuasa terutamanya polis yang bertindak sebagai Pegawai Perhubungan Sekolah, yang akan sentiasa membuat pemantauan ke kawasan tumpuan yang telah dikenal pasti mempunyai elemen gengsterisme.

"Saya tahu banyak tempat seumpama ini ada ancaman keselamatan dan ini mengakibatkan guru-guru agak takut untuk mengambil tindakan atau melaporkan masalah ini kepada pihak berkuasa.

"Tapi sebenarnya polis dan Jabatan Pelajaran Negeri sudah kenal pasti kawasan-kawasan hotspot ini dan mereka sentiasa melakukan pemantauan dan mesyuarat bersama dalam membendung masalah ini," katanya kepada pemberita selepas merasmikan program Baiti Jannati anjuran Tenaga Nasional Berhad di sini, Rabu.

Mahdzir berkata demikian bagi mengulas mengenai isu gengsterisme yang kerap berlaku sejak kebelakangan ini di kalangan pelajar sekolah, termasuk pendakwaan 42 pelajar di sebuah sekolah di Klang, Selangor kerana terlibat dalam kongsi gelap.

Berhubung isu itu, Mahdzir berkata kementerian masih menunggu laporan penuh daripada polis tentang kedudukan pelajar yang telah didakwa di mahkamah, sebelum mengeluarkan sebarang kenyataan.

"Saya ulangi kita tidak ada perlindungan, rayuan atau apa-apa pun bagi pelajar ini bila kes seperti ini berlaku, kita serahkan sepenuhnya kepada pihak berkuasa," katanya.

Dalam pada itu, beliau turut meminta sesetengah pihak agar berhenti mengkritik program Permata Negara yang dilhamkan isteri perdana menteri, Datin Seri Rosmah Mansor sebaliknya memahami terlebih dahulu isi kandungan program itu.

"Program ini menggilap potensi kanak-kanak yang dianggap mempunyai pemikiran luar biasa dan mereka dikumpulkan di bawah program ini, dan ia dikembangkan di peringkat pendidikan awal kanak-kanak dan sekarang ini telah pergi ke peringkat lebih tinggi.

"Program ini yang diasaskan pada 2010 sangat baik untuk negara malah ada dicadangkan supaya modul Permata Negara dijadikan rujukan untuk merangka pendidikan awal kanak-kanak," katanya.  -- Bernama

Tags / Kata Kunci: Mahdzir Khalid , gengsterisme

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan