Tak Akan Ada Yang Terlepas - SPRM

Diterbitkan: Selasa, 9 Mei 2017 9:29 AM

(Ubah saiz teks)

EKSKLUSIF

PETALING JAYA: Pegawai-pegawai Imigresen yang terlibat dengan rasuah tidak akan terlepas daripada ditahan dan dibawa ke muka pengadilan.

Bukan itu sahaja, seorang pembantu ketua menteri bergelar Datuk juga telah ditangkap dan dijangka didakwa pada Selasa.

Menurut sumber, dua pegawai kanan imigresen berpangkalan di Kompleks ICQ Padang Besar, Perlis, telah ditahan kira-kira pukul 11 pagi Isnin di bawah Ops Lavish.

Suspek, yang berusia 35 dan 37 tahun, telah dipanggil ke pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) di Kedah kerana disyaki menerima rasuah untuk meluluskan pas ekspatriat bagi mengambil pekerja mahir dan profesional. Turut ditahan seorang kontraktor berusia 48 tahun.

Kontraktor tersebut dipercayai telah bersubahat dalam urusan ini sejak 2015 dan bertindak sebagai orang tengah untuk memindahkan sejumlah besar wang ke dalam beberapa akaun bank.

Jumlah yang terlibat dikatakan melebihi satu juta ringgit.

Timbalan Ketua Pesuruhjaya SPRM (Operasi) Datuk Azam Baki mengesahkan penahanan tersebut.

Pegawai anti-rasuah turut merampas empat buah kereta mewah, sebuah motosikal berkuasa tinggi, akaun deposit tetap dengan wang RM1 juta, 13 beg tangan jenama mewah dan 13 utas jam tangan bernilai RM130,000.

Ketiga-tiga suspek akan disiasat di bawah Seksyen 17 (a) Akta SPRM 2009, yang membawa hukuman penjara sehingga 20 tahun dan lima kali ganda jumlah suapan.

Difahamkan, suspek yang berusia 37 tahun itu, telah menjalankan urusan yang meragukan ketika bertanggungjawab di bahagian perkhidmatan ekspatriat di Jabatan Imigresen Putrajaya.

Dia berperanan sebagai ketua bahagian dari Februari 2015 hingga Disember 2015 dan ditugaskan untuk menyelia, meluluskan dan memeriksa semua maklumat pemohon dalam sistem data.

Dalam tempoh yang singkat di sana, dia dikatakan telah meluluskan 339 permohonan, melibatkan 18,626 pemohon.

"Beberapa syarikat pemohon dikatakan tidak wujud.

"Siasatan awal mendapati suspek mengambil sekurang-kurangnya RM1,500 bagi setiap permohonan daripada ejen sebagai dorongan untuk meluluskan permohonan mereka," kata satu sumber.

Pemeriksaan juga menunjukkan bahawa isteri suspek telah memainkan peranan dalam urusan tersebut dengan menggunakan syarikat berdaftar miliknya untuk mengeluarkan cek dan memindahkan wang.

Langkah terbaru itu adalah isyarat bahawa badan anti-rasuah sedang menjalankan 'pembersihan' ke atas Jabatan Imigresen.

Pada Mac, sekurang-kurangnya 10 pegawai imigresen yang mengambil sehingga RM5,000 untuk membenarkan pendatang tanpa izin masuk ke Sarawak telah ditahan. Enam daripada mereka adalah wanita.

Awal tahun ini, empat pegawai imigresen Selangor telah ditahan untuk membantu siasatan berhubung permohonan pasport antarabangsa yang meragukan, menyebabkan kerugian lebih RM1 juta.

Di Melaka, bekas pegawai khas kepada Datuk Bandar Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah yang terlibat dalam kes rasuah ditahan pada pukul 7.30 malam Isnin di pejabat SPRM Melaka.

Suspek berusia 56 tahun itu menghadapi 11 tuduhan di bawah Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil daripada Aktiviti Haram 2001 dan empat lagi di bawah Kanun Keseksaan.

Pada 28 November, pegawai berkenaan telah ditahan untuk membantu siasatan berhubung dakwaan rasuah dan pengubahan wang haram.

SPRM juga menyita wang tunai, aset dan beberapa kenderaan daripada pegawai tersebut bernilai lebih dari RM100 juta.

Tags / Kata Kunci: SPRM , rasuah , Imigresen

iklan

Video

Khamis, 19 Oktober 2017 1:00 PM

Lebih Baik Jual Album Sendiri - Firman

Khamis, 19 Oktober 2017 9:00 AM

Tudiaaa... Fesyen Mengancam Selebriti ASK2017

Khamis, 19 Oktober 2017 8:30 AM

Keringat Wanita Waja

Rabu, 18 Oktober 2017 10:52 AM

"Saya Bukan Ustaz" - Opick

Selasa, 17 Oktober 2017 3:37 PM

Siapa Haida Hafiz?

Selasa, 17 Oktober 2017 2:49 PM

Video Majlis Resepsi 'Tycoon' Air Asia Tular

Selasa, 17 Oktober 2017 2:24 PM

Sabar Kakak, Benda Boleh Bincang...

Selasa, 17 Oktober 2017 9:00 AM

Ferhad Nak Berdangdut!

Kolumnis

iklan

Iklan