JKDM Selangor Nafi Sebar Mesej Tawaran Jubin

Diterbitkan: Jumaat, 5 Mei 2017 5:00 PM

(Ubah saiz teks)

PETALING JAYA: Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Selangor menafikan pihaknya membuat tawaran secara terbuka bagi pemberian jubin sebagaimana yang tersebar menerusi khidmat pesanan ringkas (SMS) atau aplikasi WhatsApp.

JKDM Selangor dalam satu kenyataan berkata, bahagian penguatkuasaannya tidak pernah menyebarkan maklumat itu menerusi SMS atau WhatsApp tetapi menjelaskan bahawa tawaran tersebut sememangnya terbuka kepada sekolah, surau atau madrasah tahfiz.

Bagaimanapun katanya, permohonan menerusi surat daripada kumpulan sasaran itu yang memerlukan sahaja akan diambil kira.

“Ini mengambil kira keperluan mereka dan dianggap sebagai tanggungjawab sosial korporat jabatan (CSR) kepada masyarakat.

“Tiada pemberian kepada pihak syarikat atau badan awam dilakukan,” menurut kenyataan itu.

Pada Jumaat, satu mesej tular tersebar di SMS dan WhatsApp dengan menyebut sesiapa yang mengenali pengerusi surau atau sekolah yang memerlukan jubin boleh membuat permohonan kepada pihak kastam.

Mesej itu turut menyebut tawaran tersebut dibuat berikutan banyak jubin untuk dilupus, sambil menyatakan permohonan boleh dibuat ke Bahagian Pencegahan di Pejabat Kastam Pelabuhan Utara, di Pelabuhan Klang, Selangor.

Menurut kenyataan JKDM Selangor, pemberian jubin itu telah mendapat kelulusan jabatan di ibu pejabat, menerusi surat bertarikh 30 Mac lalu.

“Jubin yang diagihkan adalah kontena yang telah dilucut hak dan mendapat kelulusan ibu pejabat untuk diberikan.

“Ini juga untuk mengurangkan kesesakan stor dan mempercepatkan pemulangan kontena kepada pihak perkapalan yang telah lama menuntut kontena tersebut,” katanya. 


iklan

Kolumnis

iklan

Iklan