JJPTR Tembusi Australia Sebelum Kerugian

Diterbitkan: Jumaat, 5 Mei 2017 9:16 AM

Seorang lelaki sedang bertanyakan tentang wang pelaburannya di pejabat JJPTR di Jalan Perak, Pulau Pinang.

(Ubah saiz teks)

GEORGE TOWN: Pengendali permainan wang kontroversi, JJPTR tidak sekadar aktif di Malaysia, tetapi turut melebarkan sayapnya ke Australia sebelum mengalami kerugian, akhir bulan lepas.

Pasangan muda dari Malaysia yang berpangkalan di Perth kerugian hampir RM10,000 selepas dipujuk rakan sekerja mereka dari Pulau Pinang untuk melabur dalam syarikat tersebut.

Si suami, yang hanya mahu dikenali sebagai Yap, 31, berkata beliau telah membuka dua akaun pada bulan Mac, masing-masing bernilai RM4,700 di bawah namanya dan satu lagi akaun di bawah nama isterinya Oon, juga berusia 31 tahun.

"Kawan saya beritahu bahawa 20 peratus pulangan akan dimasukkan ke dalam bank dengan segera setiap bulan," katanya.

"Skim ini menjadi agak popular sesama kami (rakyat Malaysia) di kilang di sini. Saya percaya ada lagi yang membuat pelaburan ini."

Yap berkata, beliau hanya mendapat tahu bahawa JJPTR mengalamai masalah melalui laporan The Star Online pada 20 April, hari beliau sepatutnya mendapat pulangan bulanannya.

Sebelum dilanda badai kewangan, ahli-ahli JJPTR akan mendapat pulangan mereka pada 10, 20 atau 30 hari bulan pada setiap bulan, tetapi syarikat itu gagal membuat pembayaran pada 20 April.

Ahli JJPTR akan terus memeriksa akaun bank mereka dalam tempoh beberapa hari akan datang kerana pengasasnya Johnson Lee telah berjanji untuk membuat bayaran balik kepada mereka.

Menurut seorang pekerja JJPTR yang meminta namanya tidak disiarkan, syarikat itu mungkin akan membayar kepada mereka yang melabur dalam dua skim baharu, iaitu JJPTR2 dan JJPTR3 terlebih dahulu.

Dua skim itu dilancarkan hanya beberapa bulan lalu.

"Saya diberitahu bahawa bos saya akan membuat bayaran kepada pelabur skim asal, JJPTR, ​​selepas itu.

"Pembayaran akan dibuat secara berperingkat-peringkat dan dijangka selesai menjelang 20 Mei," katanya.

Syarikat itu akan mengadakan majlis jamuan makan malam tahunan di Berjaya Times Square, Kuala Lumpur pada 20 Mei.

Lee telah membayangkan bahawa beliau akan berada di sana untuk meraikan majlis tersebut bersama tetamu.

Tags / Kata Kunci: JJPTR , pelaburan forex , Johnson Lee

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan