Lima Penumpang Cedera, Pesawat AirAsia X Alami Gelora Udara

Diterbitkan: Jumaat, 5 Mei 2017 7:03 PM

(Ubah saiz teks)

PETALING JAYA: Pesawat AirAsia X dari Taipei ke Kuala Lumpur mengalami gelora udara pada Khamis, mengakibatkan lima penumpang cedera.

Syarikat penerbangan itu dalam satu kenyataan pada Jumaat berkata, penerbangan D7377 dari Taipei ke Kuala Lumpur yang membawa 291 penumpang dan 11 kru mengalami gelora udara.

"Pesawat mendarat dengan selamat di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur 2 (KLIA2) pada pukul 4.30 petang.

"Lima penumpang yang cedera dirawat oleh pasukan paramedik di lapangan terbang sejurus mendarat.

"Penumpang-penumpang lain diberikan perhatian dan bantuan yang diperlukan,"menurut kenyataan itu.

Terdahulu, satu rakaman berhubung insiden diambil di dalam pesawat menjadi tular di aplikasi WhatsApp.

Video tersebut menunjukkan seorang pramugari terbaring di atas lantai dengan dulang makanan berselerak, dan seorang lagi pramugara kelihatan terduduk di atas beberapa bekas hidangan makanan di dalam pesawat.

Suara tangisan seorang wanita boleh didengari manakala beberapa suara lain berulang kali menyebut "jangan bergerak".

Seorang lagi pramugari yang duduk dilihat sedang memberitahu para penumpang supaya bertenang.

"Semuanya akan kembali seperti biasa," katanya berulang kali.

Selepas beberapa saat, beberapa kru kabin di atas lantai bangun untuk ke tempat duduk sebelum rakaman berakhir.

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan