Penjawat Awam Berisiko Muflis Akan Disiasat

Diterbitkan: Khamis, 4 Mei 2017 4:12 PM

Zainal Rahim Seman

(Ubah saiz teks)

JASIN: Penjawat awam yang berdepan risiko menjadi muflis berikutan kegagalan mereka menguruskan hutang pinjaman akan disiasat, kata Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam Datuk Seri Zainal Rahim Seman.

Beliau berkata ini kerana isu berkenaan dilihat semakin meruncing berikutan terdapat penjawat awam yang bertindak berani dengan memalsukan slip gaji ketika membuat pinjaman hingga melebihi kemampuan mereka.

Katanya sehingga kini terdapat lebih 49,000 penjawat awam terbabit yang didapati melakukan pinjaman peribadi melebihi kemampuan gaji mereka daripada institusi kewangan yang dikenal pasti.

"Adakalanya 'kebijaksanaan' penjawat awam itu sendiri mungkin atas desakan (hidup) hingga membuatkan mereka tidak dapat berfikir secara positif (rasional)," katanya kepada pemberita di sini pada Khamis.

Terdahulu, beliau merasmikan Majlis Penutupan Kursus Asas melibatkan 272 anggota penguat kuasa Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) yang menamatkan latihan di Akademi Pengangkutan Jalan, Tiang Dua di sini, yang turut dihadiri Ketua Setiausaha  Kementerian Pengangkutan dan Ketua Pengarah JPJ Datuk Nadzri Siron.

Sebanyak 272 anggota penguat kuasa JPJ berjaya menamatkan latihan yang berlangsung selama tiga bulan dan meliputi modul perkhidmatan teras jabatan iaitu penguatkuasaan, kejuruteraan automotif, pelesenan kenderaan dan pemandu serta pendakwaan.

Bernama pada 30 April lepas melaporkan setakat ini lebih 3,000 orang penjawat awam telah diisytiharkan muflis dan dikhuatiri jumlah itu akan terus meningkat jika tidak dibendung.

Sementara itu Zainal Rahim berkata dengan kebergantungan masyarakat terhadap teknologi semakin meningkat, penjawat awam diminta agar lebih berhati-hati dalam mengenal pasti kesahihan sesuatu maklumat yang diperoleh dan diberi terutama di media sosial bagi mengelak penularan berita palsu hingga mencemar imej perkhidmatan awam.

Beliau berkata pihaknya memandang serius isu penjawat awam yang tidak berintegriti sehingga mencemar nama baik jabatan dan akan mengambil tindakan tegas terhadap mereka.

"Seramai sembilan anggota penjawat awam telah dikenakan tindakan buang kerja atas pelbagai kesalahan tahun lepas...ini merupakan satu peringatan kepada semua penjawat awam agar menjaga disiplin masing-masing supaya tidak dikenakan tindakan tatatertib," katanya.

Dalam pada itu, Zainal Rahim menyeru penjawat awam agar sentiasa berusaha bagi meningkatkan mutu perkhidmatan selain menjaga disiplin dan imej dengan mematuhi peraturan dan undang-undang yang ditetapkan.

"Kita mahu peranan penjawat awam diperkukuhkan agar integriti serta tadbir urus perkhidmatan awam hari ini dapat dipertingkatkan di samping mengurangkan ketirisan dalam usaha memastikan sistem penyampaian perkhidmatan awam mencapai pada satu tahap yang lebih memberangsangkan," katanya.-Bernama

Tags / Kata Kunci: Penjawat awam , muflis

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan