Saya Punk Tegar, Apa Orang Kata Saya ‘Langgar’ Saja

Diterbitkan: Rabu, 3 Mei 2017 7:00 AM

(Ubah saiz teks)

PETALING JAYA: “Saya memang hati kental, saya ni budak ‘punk’ tegar, saya tak peduli apa orang cakap, saya 'langgar' saja,” demikian pengakuan Khairuddin Aziz yang agak popular dalam komuniti ‘punk’ tanah air.

Ketegaran dirinya dalam arus dan budaya ‘punk’ ini bagaimanapun tidak harus dipandang serong kerana jiwa kental yang sudah sebati dalam dirinya itu digunakan untuk melakukan perkara yang mampu menyentuh hati masyarakat.

Khairuddin bukan budak 'punk' yang suka buat kacau. Dia juga tak makan sampah atau ambil dadah,  apatah lagi memberontak agresif. Sebaliknya, dia budak 'punk' yang tenang dan mahu cuba tolong orang!

“Kebanyakan orang fikir budak-budak 'punk' ni teruk, tak ada masa depan tapi bagi saya, saya salurkan jiwa kental saya ini dalam membantu masyarakat.

“Apa saja orang nak cakap negatif pada saya, saya tak pedulilah, saya tak kisah. Saya akan terus buat untuk perjuangkan masyarakat dan komuniti yang memerlukan bantuan,” katanya dalam satu temubual bersama mStar Online.

Khairuddin Aziz, 39, atau lebih dikenali sebagai Ein dalam kalangan rakannya mengaku adakalanya dipandang serong oleh masyarakat apabila dia bersama rakan-rakannya, di bawah program Zero Hunger turun padang untuk melakukan kerja-kerja kebajikan atau menghulurkan bantuan kemanusiaan.

Apatah lagi apabila mendapat tahu tentang latar belakang, budaya dan ideologi 'punk' yang menjadi ikutan dirinya dan rakan lain, maka bertambah seronglah pandangan orang ramai terhadap niat murni kumpulan aktivis sosial ini.

Namun, Ein sedikit pun tidak marahkan masyarakat. Baginya, dalam situasi inilah ‘bergunanya’ jiwa kental seorang budak 'punk' tegar itu.

“Memang saya tak boleh salahkan masyarakat apa anggapan mereka terhadap 'punk', memang dari dulu sampai sekarang 'punk' itu (dianggap) negatif.

“Walaupun masyarakat masih pandang serong, itu saya tak dapat nak tolak atau tepis, anak-anak 'punk' sendiri yang rosakkan pandangan terhadap 'punk',” katanya yang turut menulis buku berjudul Aku Anak Punk.

Ein yang menganggotai kumpulan muzik rock punk, Second Combat berkata ‘punk’ mempunyai banyak cabang dan dia adalah salah seorang pengamal ideologi ‘straight edge’ yang mempunyai gaya hidup ‘bersih’ tanpa pengaruh dadah atau alkohol serta prihatin terhadap masalah sekeliling.

Katanya, berdasarkan pengalaman berada di Eropah dan Amerika Syarikat, dia mendapati terdapat banyak perbezaan antara budaya 'punk' yang diamalkan di Malaysia dan luar negara.

“Saya banyak dapat inspirasi dari kumpulan 'punk' di AS dan Eropah , mereka terlibat dalam NGO (pertubuhan bukan kerajaan) dan buat kerja kebajikan contohnya macam Anti-Flag, PETA, Rise Against dengan NGO Greenpeace.

“Kebanyakan kumpulan 'punk' di sana memang terlibat dalam NGO, kerja-kerja kemanusiaan, kemasyarakatan dan menyelamatkan bumi tapi di Malaysia kita masih kurang dengan aktiviti sosial sebegitu,” katanya yang juga merupakan pengasas dan presiden Persatuan Belia Bebas Dadah.

Bagaimanapun Ein menjelaskan bahawa dia bukanlah seorang budak 'punk' yang mahu mendabik dada apabila kini bergelar aktivis sosial, penulis buku dan penceramah bebas.

Tanpa berselindung, dia sendiri mengakui pernah terikut-ikut dengan gejala negatif punk yang nampak ‘cool’ di mata masyarakat seperti rokok, dadah dan sebagainya.

Tegasnya, dia hanya mahu membantu masyarakat secara amnya dan secara khususnya mahu membantu rakan-rakan 'punk' di negara ini yang kebanyakannya sudah tersalah arah.

“Banyak budak-budak 'punk' yang sudah tersalah arah, terserong ke jalan tak betul.

“Saya cuba membawa mesej ini kepada anak-anak punk di luar sana, come on we can do this, kita boleh menolak, kita boleh membantu dan kita boleh merevolusikan senario 'punk' kepada jalan kebaikan dan jalan kebajikan,” katanya.

Mengenai pendekatan yang digunakan untuk menghulurkan bantuan, Ein berkata dia akan cuba mendapatkan bantuan ‘orang tengah’ yang lebih arif tentang masalah masyarakat dalam sesebuah kawasan.

“Kita akan terjah keluarga itu dan tengok apa masalahnya, apa yang kita boleh bantu.

“Saya tak boleh buat seorang, kena ada yang membantu saya juga. Kemudian baru kita cuba dapatkan bantuan dari tempat-tempat lain seperti syarikat korporat atau crowd funding,” katanya yang turut aktif membantu gelandangan.

Bapa kepada seorang anak ini berkata sepanjang 20 tahun mempromosikan gaya hidup positif, dia dan rakan-rakannya gembira mampu membantu golongan yang memerlukan dan akan meneruskan aktiviti itu.

“Apa yang kita nak tunjukkan setiap orang boleh melibatkan diri dalam memberi bantuan, siapa saja boleh memberi bantuan kepada umat manusia,” katanya.

Tags / Kata Kunci: Khai Aziz , Aku Anak Punk , aktivis

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan