Lelaki Rusia Meninggal Dunia Ketika Belayar

Diterbitkan: Selasa, 2 Mei 2017 7:57 PM

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: Pelayaran dua lelaki Rusia dari Pelabuhan Kemboja menuju ke Pelabuhan Phuket, Thailand tidak kesampaian apabila seorang daripada mereka meninggal dunia ketika melalui perairan Tanjung Sepat di Selangor tengah hari Selasa.

Insiden itu dimaklumkan oleh pelayar yang selamat kepada sekumpulan nelayan tempatan yang berada pada jarak 25 batu nautika dari Jeti Jabatan Laut Port Dickson.

Nelayan berkenaan kemudian menghubungi Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) bagi mendapatkan bantuan.

Timbalan  Ketua Pengarah Operasi Maritim Ma­laysia Laksamana Madya Datuk Indera Zulkifli Abu Bakar ketika dihubungi Bernama berkata pihaknya segera mengerahkan bot APMM Pengalang 10 dari Pelabuhan Klang ke lokasi sebaik menerima panggilan berkenaan kejadian untuk siasatan lanjut.

“Setelah menghampiri kapal layar Suothern Breeze 3 itu, kru kami membuat pemeriksaan terhadap mangsa dan mengesyaki dia meninggal dunia.

“Mangsa kemudian dipindahkan ke bot Penggalang 10 untuk di bawa ke Jeti Jabatan Laut Port Dickson,” katanya.

Beliau berkata pasukan perubatan Hospital Port Dickson yang memeriksa mangsa berusia 56 tahun itu di jeti berkenaan mengesahkan dia telah meninggal dunia dan mayatnya dibawa ke Hospital Port Dickson untuk tindakan lanjut.

Susulan itu, satu laporan polis dibuat di Ibu Pejabat Polis Daerah Port Dickson dan kes diserahkan kepada pihak polis.

Sementara itu, nelayan Mohd Suffian Alias, 32, berkata beliau bersama-sama tiga lagi nelayan sedang menangkap ikan di perairan itu apabila ternampak seorang lelaki melambai tangan dari kapal layarnya bagi mendapatkan bantuan pada kira-kira 12.30 tengah hari Selasa.

“Kami segera menghampiri kapal layar itu dan mendapati seorang daripada mereka tidak sedarkan diri sebelum menghubungi APMM untuk mendapatkan bantuan,” katanya ketika dihubungi Bernama di sini, hari ini.

Mohd Suffian berkata lelaki yang selamat itu berusia 47 tahun itu dan merupakan pembantu kepada mangsa tersebut.

Di MELAKA, APMM Daerah Lima Kuala Linggi menyatakan bahawa mangsa yang dikenali sebagai ‘Ermak atau Epmak’ meninggal dunia akibat serangan jantung pada 12.15 tengah hari tadi.

"APMM Daerah Lima Kuala Linggi menerima panggilan kecemasan di laut daripada nelayan tempatan memaklumkan terdapat seorang mangsa kapal layar mengalami serangan jantung.

"Justeru itu, sebuah aset milik APMM Daerah Lima Kuala Linggi Bot Pengawal 49 dengan bantuan sebuah lagi Bot Penggalang 10 milik APMM Daerah Maritim 4 Klang digerakkan ke lokasi kejadian bagi misi bantuan kecemasan di laut," kata kenyataan APMM berkenaan.

Agensi itu menyatakan kapal layar mangsa ditemui kira-kira 17 batu nautika dari Pantai Port Dickson di Negeri Sembilan.

Tags / Kata Kunci: Pelayar Rusia

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan