PAS Bukan Hotel Persinggahan - Abdul Hadi

Diterbitkan: Isnin, 1 Mei 2017 6:44 PM

(Ubah saiz teks)

ALOR SETAR: Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang mengingatkan ahli parti dan entiti politik lain bahawa PAS bukanlah 'hotel persinggahan' untuk dijadikan batu loncatan.

Tanpa merujuk mana-mana parti atau individu, Abdul Hadi menyifatkan pihak tersebut bersifat oportunis atau gemar mengambil kesempatan dan menjadikan PAS sebagai pangkalan persinggahan atau tangga untuk dipanjat.

"Hal ini sudah ditapis, ia turut melibatkan ahli dalam parti ini, bukan sahaja parti politik lain.

"Jadi terpulang sama ada mereka berundur sendiri atau kita yang menyingkirkan mereka," katanya pada sidang media selepas berakhirnya Muktamat Tahunan PAS ke-63 di sini, Isnin.

Pada masa sama, Abdul Hadi turut mengumumkan Datuk Takiyuddin Hassan kekal sebagai Setiausaha Agung parti, sekali gus pelantikan pertama bagi Jawatankuasa Kerja PAS Pusat 2017-2019.

Sementara itu, mengulas tentang dakwaan bahawa PAS sudah menjadi parti dinasti yang dikuasai anak-beranak seperti DAP dan PKR, Abdul Hadi berkata, hal tersebut wujud disebabkan pencalonan di peringkat akar umbi.

Malah katanya, beliau tidak mencalonkan anaknya atau keluarga untuk bertanding dalam pemilihan tersebut.

"Semua pihak mahu anak masing-masing mengikuti perjuangan mereka dan perkara itu merupakan satu realiti.

"(Tetapi) kita tidak mahu anak masing-masing tidak ikut perjuangan kita," kata beliau.

Anak lelaki Abdul Hadi, Muhammad Khalil Abdul Hadi kini merupakan Ketua Dewan Pemuda PAS, menggantikan Nik Mohamad Abduh Nik Aziz.


Tags / Kata Kunci: PAS , Abdul Hadi

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan