Keputusan Tamat Tahaluf Siyasi PKR Calar Imej PAS

Diterbitkan: Isnin, 1 Mei 2017 2:47 PM

(Ubah saiz teks)

ALOR SETAR: Usul putus hubungan dengan PKR yang diterima sebulat suara perwakilan Muktamar Tahunan PAS ke-63 didakwa mencemarkan imej parti Islam itu.

Ahli Parlimen Pokok Sena, Datuk Mahfuz Omar berkata, tindakan itu menggambarkan bahawa PAS seolah-olah ingin bergaduh dengan semua orang.

"Muktamar kali ini sepatutnya diambil kesempatan pimpinan PAS untuk menjernihkan imej PAS di mata pandangan masyarakat Malaysia dan pengundi Melayu. Saya kecewa terhadap ketidakupayaan PAS menangani isu ini.

"Imej PAS telah tercalar. Sejak dari mula Muktamar hingga penuh, makin keruh keadaan apabila dibuat usul putus hubungan dengan PKR," katanya yang juga ahli Parlimen PAS.

Menurutnya, keputusan PAS untuk menerima usul putus hubungan dengan PKR akan memencilkan PAS dari kalangan rakyat dan politik negara.

"Rakyat akan lihat buat apa kami nak sokong PAS, lebih baik kami sokong Pakatan Harapan. Pengundi PAS dan bekas pengundi PAS pada sebelum ini pun akan berpandangan seperti ini.

"Kalau PAS sendirian, mereka tak mampu perintah negara pada PRU14. Orang nampak PAS tak boleh kearah itu sebab sukar," katanya.

Jelasnya, PAS juga dilihat tidak memberi fokus untuk menarik undi bukan Islam, sebaliknya lebih banyak menarik undi Melayu Islam.

"Saya nak tanya pemimpin PAS, Melayu mana yang nak sokong PAS? Orang-orang bekas ahli PAS pun dah beralih arah kepada Amanah, Bersatu dan PKR.

"Kalau kita harap undi Umno dahulu akan sokong PAS, tetapi mereka dah sokong Bersatu. Melayu mana lagi nak undi PAS," katanya.

Mahfuz berkata, beliau akan terus perjelas kepada ahli PAS bahawa parti itu sudah buat satu kesilapan besar.- Sinar Harian




Tags / Kata Kunci: PKR , PAS , Mahfuz Omar

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan