PAS Kedah Rakam Simpati Terhadap Mangsa Ribut

Diterbitkan: Ahad, 30 April 2017 10:25 AM

Anggota Jabatan Bomba dan Penyelamat membuat pemantauan dan pemeriksaan di kawasan khemah yang ranap akibat kejadian ribut di Kompleks PAS Kedah, Kota Sarang Semut malam Sabtu. fotoBERNAMA

(Ubah saiz teks)

ALOR SETAR: PAS Kedah pada Ahad merakamkan rasa simpati terhadap semua mangsa bencana ribut yang berlaku di Kompleks PAS Kedah, Kota Sarang Semut, venue Muktamar PAS ke-63, malam Sabtu.

Pesuruhjayanya Dr Ahmad Fakruddin Sheikh Fakhrurazi berkata bencana itu tidak menjejaskan program muktamar tahunan PAS yang berlangsung di kompleks itu sehingga Isnin.

"Pihak Panitia Muktamar Tahunan PAS ke-63 menzahirkan rasa simpati ke atas mangsa-mangsa bencana ribut yang berlaku di Kompleks PAS Kedah sejurus selepas azan Maghrib dan mendoakan kesejahteraan mereka.

"Semua aturcara program Muktamar Tahunan PAS ke-63 yang tidak melibatkan tapak ekspo adalah berjalan seperti biasa," katanya dalam satu kenyataan.

Ahmad Fakruddin turut mengucapkan terima kasih kepada semua pihak yang membantu menguruskan semua mangsa bencana itu.

Dalam kejadian kira-kira 7.25 malam itu, sebanyak 19 orang dilapor cedera termasuk seorang tidak sedarkan diri dalam kejadian ribut yang meranapkan khemah utama di kompleks berkenaan.

Ia membabitkan khemah yang menempatkan pameran dan jualan Kelab Keusahawanan Haraki (KU-Haraki).

Sebelum bermula muktamar itu hari ini, Setiausaha Agung PAS Datuk Takiyuddin Hassan yang mengumumkan perkara itu kepada perwakilan berkata tiada kemalangan jiwa berlaku.

"Alhamdulillah tindakan pantas semua pihak berjaya mengawal keadaan dengan baik dan menghantar pesakit (ke hospital) dengan segera," katanya.

Beliau turut merakamkan takziah kepada mangsa dan keluarga dan berharap kesemua mereka bersabar dengan ujian itu.

Sementara itu, tinjauan Bernama mendapati kawasan yang berlaku bencana itu dikawal rapi dan kerja-kerja pembersihan dilakukan oleh pihak urusetia muktamar.

Semua perwakilan termasuk pemberita tidak dibenarkan menghampiri kawasan tersebut kerana dikhuatiri boleh membahayakan keselamatan. - BERNAMA

Tags / Kata Kunci: PAS Kedah , ribut

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan