Usul Putus Tahaluf Siyasi Bersama PKR Diterima

Diterbitkan: Jumaat, 28 April 2017 9:51 AM

(Ubah saiz teks)

ALOR SETAR: Usul memutuskan tahaluf siyasi bersama PKR diterima sebulat suara pada Muktamar Dewan Ulama PAS Pusat.

Ketua Penerangannya, Datuk Dr Mohd Khairuddin Aman Razali at-Takiri berkata, menyedari bahawa PKR telah melanggar begitu banyak syarat-syarat tahaluf siyasi dengan PAS, Muktamar Dewan Ulama PAS Pusat bersetuju mengusulkan agar tahaluf siyasi antara PAS dan PKR diputuskan.

Bagaimanapun katanya, usul tersebut tertakluk kepada keputusan Majlis Syura Ulama menurut peruntukan perlembagaan parti.

“Usul yang turut diterima sebulat suara, ialah Perdana Menteri Malaysia hendaklah Melayu Muslim dan melengkapi syarat pemimpin Islam.

"Kepimpinan negara adalah amanah menegakkan  Islam selain mentadbir negara dengan agama Islam, sebagaimana disepakati fuqaha dalam Islam," katanya.

Katanya, dalam konteks Malaysia 60.4 peratus rakyat Malaysia adalah kalangan Muslim Melayu.

"Jawatan perdana menteri  merupakan kuasa eksekutif tertinggi yang menjalankan kuasa pentadbiran yang berkuasa menentukan sesebuah pentadbiran sentiasa berasaskan prinsip Islam bagi menegakkan agama," katanya.

Menurutnya, Islam merupakan agama bagi Persekutuan sebagaimana diperuntukkan dalam artikel 3 Perlembagaan Persekutuan yang mesti ditafsirkan dengan maksud Islam sebagai ad-Din.

"Kita mengusulkan agar PAS Pusat menerusi ahli-ahli Parlimennya mendesak kerajaan Malaysia membuat pindaan Perlembagaan Malaysia supaya jawatan Perdana Menteri hendaklah  hanya kalangan warganegara Muslim berbangsa Melayu yang melengkapi syarat kepimpinan dalam Islam'" katanya. -Sinar Harian

Tags / Kata Kunci: tahaluf siyasi , Muktamar PAS , PKR

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan