Semua Calon Satu Kepala - Takiyuddin

Diterbitkan: Khamis, 27 April 2017 10:16 AM

(Ubah saiz teks)

ALOR SETAR: Pemilihan Ahli Jawatankuasa PAS pada Muktamar kali ini diyakini tidak akan menyebabkan apa-apa perpecahan dalam parti Islam itu seperti mana yang pernah berlaku pada 2015.

Setiausaha Agung PAS, Datuk Takiyuddin Hassan berkata, ia kerana semua calon yang bertanding adalah menyokong teguh di bawah kepimpinan Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang.

“Walaupun ada pertandingan pada sesi kali ini, saya boleh rumuskan bahawa semua calon ini adalah calon yang satu kepala dengan presiden dan kami kukuh di bawah pentadbiran Presiden.

“Cuma kita dalam PAS ini membenarkan amalan demokrasi iaitu menawarkan diri berkhidmat untuk parti, kemudian mereka akan diberi peluang misalnya menunjukkan kepada perwakilan apa yang mereka boleh buat untuk PAS,” katanya pada sidang media di Kompleks PAS Kedah, Rabu.

Menurutnya, PAS tidak akan berpecah walaupun ada pihak yang mendakwa akan berlaku perpecahan lagi selepas muktamar kali ke-63 ini.

“Sebenarnya tidak ada, kita pun tak nak semua jawatan ini tak ada pertandingan kerana nanti kurang meriahnya.

“Saya boleh jamin semua calon setakat ini membuktikan bahawa mereka bersama-sama dengan kepimpinan presiden,” katanya.

Pada perkembangan lain, beliau menjelaskan bahawa tiada pertandingan untuk tiga jawatan tertinggi di peringkat Dewan Muslimat PAS dan Dewan Pemuda PAS iaitu Ketua, Timbalan dan Naib.

“Bagi Dewan Muslimat PAS, cuma ada pemilihan untuk Ahli Jawatankuasa Kerja Dewan Muslimat PAS yang mana mereka perlu memilih 12 orang daripada 16 calon yang bertanding.

“Di peringkat Dewan Pemuda PAS pula saya difahamkan setakat ini ada 14 calon yang bertanding dan hanya 12 orang akan dipilih. Kalau dua orang ini tarik diri saat akhir, mungkin semuanya menang tanpa bertanding,” katanya.

Manakala di Dewan Ulama PAS Pusat pula tiada sebarang pertandingan daripada tiga jawatan tertinggi sehinggalah kepada peringkat paling bawah.

“Untuk PAS Pusat, hanya jawatan Naib Presiden dan Ahli Jawatankuasa Kerja PAS Pusat yang dipertandingkan. Terdapat empat calon Naib Presiden dan 26 orang menawarkan diri bertanding sebagai Ahli Jawatankuasa Kerja PAS Pusat.

“Kita hanya akan mengumumkan keputusan pemilihan pada 1 Mei, iaitu hari terakhir muktamar berlangsung. Keputusan itu akan kita disimpan, insyaAllah tidak akan bocor,” katanya.- Sinar Harian

Tags / Kata Kunci: Takiyuddin , Muktamar PAS

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan