Masa Depan Cerah Lenyap Akibat Tragedi

Diterbitkan: Khamis, 27 April 2017 9:30 AM

(Ubah saiz teks)

JOHOR BAHRU: Dia suka bermain bola sepak dan berazam untuk menghafal al-Quran. Malangnya, hajatnya itu tidak kesampaian.

Mohamad Thaqif Amin Mohd Gaddafi, 11, yang didakwa didera oleh pembantu wardennya akhirnya meninggal dunia selepas lapan hari berjuang untuk meneruskan hidup.

Dalam keadaan tenat, dia menghembuskan nafas terakhir ketika keluarganya sedang membacakan surah Yasin kepadanya.

Thaqif, yang lebih dikenali sebagai Akin, adalah seorang pelajar yang aktif dan suka bermain bola sepak.

Dia mampu menghafaz surah Yassin dan mahu bergelar seorang penghafaz al-Quran.

Bagaimanapun, dia didera dengan kejam di sekolah agamanya di Kota Tinggi sehingga menyebabkan kedua-dua kakinya terpaksa dipotong kerana jangkitan kuman.

Tangannya juga hampir dipotong, tetapi dia meninggal dunia pada pukul 2.05 petang Rabu, sebelum sempat pembedahan dijalankan.

Kes itu kini telah diklasifikasikan sebagai kes bunuh.

Bapanya, Mohd Gaddafi Mat Karim, berkata beliau tidak dapat menerima hakikat bahawa anaknya telah tiada ketika Mohamad Thaqif menghembuskan nafas terakhir di Hospital Sultan Ismail.

"Mohamad Thaqif Amin yang tenat meninggal dunia ketika kami sekeluarga sedang membacakan surah Yasin kepadanya.

"Saya berharap semua pihak mendoakan yang terbaik ke atas anak saya, mendoakannya menjadi anak yang soleh," kata Mohd Gaddafi.

Beliau yang merupakan bekas pemain bola sepak Selangor berkata beliau sekeluarga bagaimanapun reda dengan pemergian anak ketiganya daripada lima beradik itu.

Beliau yang berusia 43 tahun itu berkata, keluarganya tidak menjangkakan pemergian Mohamad Thaqif kerana anaknya itu sudah sedia untuk dihantar ke bilik pembedahan.

Prosedur ini terpaksa ditangguhkan sebelum ini kerana kadar degupan jantung pelajar itu terlalu tinggi dan keadaan tidak stabil.

Mohamad Thaqif dimasukkan ke HSI pada 19 April dan kedua-dua kakinya dipotong kerana jangkitan kuman.

Seorang pembantu warden berusia 29 tahun di sekolah agama swasta berkenaan didakwa telah memukulnya dengan batang paip sebagai hukuman.

Bagaimanapun, tangisan kanak-kanak itu dalam buku latihan yang dijadikan diari tidak disedari.

Dia telah meluahkan tentang penderitaan yang ditanggungnya, yang dilaporkan bermula pada Mac apabila pembantu warden merotan dan menumbuknya tanpa sebab.

Dalam satu entri, dia memohon kepada Allah untuk membuka pintu hati ibu bapanya supaya membenarkan dia menukar sekolah selepas tidak tahan menanggung kesakitan.

Penolong warden terbabit adalah bekas banduan.

Jenazah selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Felda Bukit Aping Timur, 12.37 tengah malam tadi.

Sementara itu Madrasah tahfiz tempat Allahyarham belajar turut bersedih atas pemergian pelajar berkenaan.

Pengetuanya Afdhaluddin Ismail berkata berita sedih itu diberitahu sendiri oleh bapa Mohamad Thaqif.

"Kami baru usai mengadakan majlis bacaan yassin dan tahlil bersama seluruh warga madrasah.

"Dengan perasaan yang sangat sayu dan hiba, mewakili penasihat, pemegang amanah, ahli lembaga jemaah pengurusan, ahli muafakat ibu bapa madrasah, kakitangan dan para guru serta pelajar madrasah, saya mengucapkan takziah di atas musibah ini.

"Tentunya doa kami mengiringi pemergian Mohamad Thaqif. Insya-Allah, semua anak madrasah akan bersama hadir untuk solat jenazah di Felda Bukit Aping Timur," katanya dalam satu kenyataan lewat Rabu.

Beliau turut mendoakan agar ibu dan bapa Allahyarham diberi kekuatan untuk menerima pemergian kanak-kanak tersebut.

iklan

Video

Jumaat, 20 Oktober 2017 2:30 PM

Umur Dah Lanjut Pun Nak Menyanyi Lagi?

Jumaat, 20 Oktober 2017 9:00 AM

#akuStar: Irfan Haris - Pesan

Jumaat, 20 Oktober 2017 8:30 AM

Donut Untuk Sang Hero

Khamis, 19 Oktober 2017 1:00 PM

Lebih Baik Jual Album Sendiri - Firman

Khamis, 19 Oktober 2017 9:00 AM

Tudiaaa... Fesyen Mengancam Selebriti ASK2017

Khamis, 19 Oktober 2017 8:30 AM

Keringat Wanita Waja

Rabu, 18 Oktober 2017 10:52 AM

"Saya Bukan Ustaz" - Opick

Selasa, 17 Oktober 2017 2:49 PM

Video Majlis Resepsi 'Tycoon' Air Asia Tular

Selasa, 17 Oktober 2017 2:24 PM

Sabar Kakak, Benda Boleh Bincang...

Kolumnis

iklan

Iklan