Tangan Kanan Murid Dipukul Mungkin Dipotong

Diterbitkan: Selasa, 25 April 2017 2:38 PM

(Ubah saiz teks)

JOHOR BAHRU: Murid lelaki berusia 11 tahun yang didakwa dipukul pembantu warden di sekolah tahfiz di Kota Tinggi tidak bertindak balas dengan baik kepada rawatan dan mungkin kehilangan tangan kanannya.

Terdahulu, dilaporkan mangsa menerima rawatan penipisan darah bagi mengubati jangkitan di tangan kanan dan bahu kirinya, dan keluarganya hanya boleh mengetahui pada pukul 8 malam Selasa sama ada tangan kanan mangsa perlu dipotong atau tidak.

Difahamkan darah beku pada bahu kiri hilang selepas rawatan dilakukan.

Ibu saudara mangsa, Dzuraidah Ahmad, 38, berkata, keadaan Mohamad Thaqif Amin Mohd Gadaffi tidak bertambah baik dan tangan serta jari kanannya kembali bertukar kehitaman selepas menunjukkan tanda-tanda akan sembuh pada Ahad.

"Kita doakan agar dia sembuh dan bersedia sekiranya doktor memutuskan pemotongan diperlukan bagi menyelamatkan nyawanya," katanya ketika ditemui di Hospital Sultanah Aminah pada Selasa.

Tambahnya, doktor memberitahu mereka bahawa bahagian lengan di bawah siku akan dipotong sekiranya perlu.

Dilaporkan kedua kaki mangsa dipotong bagi mengelakkan jangkitan kuman merebak ke bahagian badan yang lain.

Doktor kemudiannya mendapati tangan kanannya bertukar kehitaman akibat jangkitan kuman dan darah beku mula kelihatan di bahu kiri.

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan