Dua Kanak-Kanak Pesakit Kanser Mahu Ke Makkah

Diterbitkan: Selasa, 25 April 2017 12:15 PM

Zarifah Zahraa Zamry bercakap sesuatu kepada bapanya.

(Ubah saiz teks)

MELAKA: Dua kanak-kanak di sini, yang masing-masing menghidap barah otak peringkat akhir telah bertemu pada hujung minggu dan mendapati mereka berkongsi impian yang sama iaitu mahu menjejakkan kaki ke Makkah dan melawat Legoland di Johor Bahru.

Keluarga kepada Mohamad Uthman Mohd Saiful, tujuh, dan Zarifah Zahraa Zamry, 11, bagaimanapun berkata, mereka tidak dapat menunaikan hasrat dua kanak-kanak berkenaan.

Uthman dan Zarifah disahkan mempunyai jenis tumor otak yang sama iaitu 'medulloblastoma' dan dikategorikan sebagai berisiko tinggi.

Walaupun tidak cukup sihat, kedua-dua mereka tetap hadir untuk program Relay for Life  yang berakhir di Dataran Pahlawan di sini pagi Isnin.

Zarifah telah menjalani 33 sesi kimoterapi di Hospital Kuala Lumpur, manakala Uthman menjalani 12 sesi di hospital yang sama sejak mereka didiagnosis pada tahun 2015.

Kedua-duanya menyedari berkongsi impian yang sama apabila keluarga mereka bertemu buat kali pertama dalam satu majlis anjuran Persatuan Kanser Kebangsaan Malaysia.

Pemandu lori Mohd Saiful Judin, 33, berkata Uthman telah bertanyakan tentang hasratnya itu pada tahun ini.

"Anak saya tiba-tiba memberitahu ibunya dia mahu melihat Kaabah dan Legoland," katanya ketika ditemui, sambil menambah percubaan untuk mendapatkan bantuan kewangan buat anaknya tidak berjaya.

"Dengan gaji yang tak seberapa saya sebagai pemandu lori dan tiga anak lain yang perlu disara, saya tidak mampu," kata Mohd Saiful, yang isterinya adalah seorang guru tadika.

Mohd Saiful berkata anaknya mahu terbang ke Mekah dan berdoa untuk perpaduan dan keamanan dunia.

"Anak saya melihat mereka yang membantu kami dan memberi kami sokongan moral datang dari latar belakang berbeza.

"Sebab itu dia mahu melihat dunia aman dan bersatu....Mungkin ini hajat terakhirnya," katanya sambil menahan air mata.

Bapa Zarifah, Zamry Abd Rasip, 49, berkata beliau telah berhenti kerja di sebuah syarikat berkaitan kerajaan awal tahun lalu untuk menjaga anak perempuan yang mempunyai masalah kesihatan.

"Saya tidak mempunyai pilihan melainkan berhenti kerja kerana anak saya perlu menjalani rawatan berterusan," katanya.

Sekarang, Zamry dan isterinya Haslinah Abdullah, 48, menjalankan perniagaan secara kecil-kecilan.

"Nasib baik, anak perempuan sulung saya sudah berumur 24 tahun dan dapat membantu menambah pendapatan keluarga serta menemani adiknya mendapatkan rawatan di Kuala Lumpur," katanya.

Bapa kepada enam anak ini berkata beliau tidak mampu menunaikan permintaan anak perempuannya itu.

Tags / Kata Kunci: pesakit kanser , Makkah

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan