Makam Sultan Kedah Ke-16 Berusia 330 Tahun Ditemui Di Bukit Pinang

Diterbitkan: Selasa, 25 April 2017 2:24 PM

Salah satu batu nisan ukiran dari Acheh, Indonesia yang ditemui di Kampung Bukit Pinang pada 23 Mac lalu. Batu nisan ini dipercayai terletak di kawasan makam yang dipercayai milik Sultan Kedah ke-16, Sultan Ataullah Muhammad Syah II sejak berusia kira-kira 330 tahun.

(Ubah saiz teks)

ALOR SETAR: Selepas penemuan makan Sultan Kedah ke-14, Sultan Muhyiddin Mansur Shah bulan lepas, Persatuan Sejarah Malaysia Cawangan Kedah (PSMCK) menemui pula satu lagi makam berusia 330 tahun, dipercayai milik Sultan Kedah ke-16, Sultan Ataullah Muhammad Syah II di Bukit Pinang dekat sini.

Sembilan buah kubur bersama batu nisan itu ditemui ahli PSMCK, Zamri Abd Wahab, pada 23 Mac lepas dan ia terletak betul-betul di tepi sungai di Kampung Bukit Pinang dekat sini.

Kesemua makam tersebut yang tersusun rapi dalam satu barisan, seolah-olah dipayungi oleh pokok buluh yang merimbun di kawasan berkenaan, menurut pengamatan wartawan Bernama sendiri yang berkesempatan ke lokasi penemuan.

Ketua Biro Penerbitan dan Pemasaran yang juga Pengarang Kehormat PSMCK, Dr Ibrahim Bakar berkata, kesemua ukiran nisan berkenaan menunjukkan ia berasal dari Acheh, Indonesia dan kebiasaannya hanya digunakan oleh golongan bangsawan dan kerabat diraja.

"Malah melihat kepada reka bentuk nisan ini, ia sangat menyerupai batu nisan yang kita temui pada makam Sultan Kedah ke-14 Sultan Muhyiddin Mansur Syah baru-baru ini di Kampung Chegar, Tunjang," katanya.

Menurutnya, Al-Tarikh Salasilah Negeri Kedah karya Muhammad Hassan Muhammad Arshad pada 1928 ada menceritakan mengenai tiga Sultan Kedah yang bersemayam di Bukit Pinang iaitu Sultan Ataullah (1687-1698), Sultan Abdullah Muadzam Shah (1698-1706) dan Sultan Ahmad Tajuddin Halim Shah I (1706-1709).

Bagaimanapun, setelah mangkat, hanya Sultan Abdullah dan Sultan Ahmad Tajuddin sahaja dimakamkan di Makam Diraja Langgar, manakala Sultan Ataullah dimakamkan di Makam Diraja Bukit Pinang namun makam itu tidak ditemui sehingga hari ini.

"Justeru, kami berpandangan bahawa makam yang ditemui ini berkemungkinan besar makam Sultan Ataullah dan kerabat dirajanya," katanya kepada Bernama.

Zamri pula berkata, turut ditemui tidak sampai 100 meter dari makam berkenaan ialah satu unjuran tanah tinggi kira-kira 2.43 meter yang dipercayai merupakan sebahagian daripada kota pemerintahan yang tertinggal di situ.

"Biasanya tanah yang ditinggikan ini berfungsi sebagai benteng pertahanan daripada serangan musuh," katanya.

Zamri, yang bertanggungjawab menemui makam Sultan Muhyiddin Mansur Shah, berkata, penemuan kali ini agak berbeza kerana masih belum ditemui apa-apa tulisan pada batu nisan berkenaan.

"Pada makam Sultan Kedah ke-14 itua da tulisan khat pada batu nisan yang menunjukkan nama sultan, namun pada batu nisan yang ini, kita masih belum jumpai sebarang tulisan jawi atau pun khat dan kami masih melakukan kajian," katanya.  -- Bernama 


Tags / Kata Kunci: Sultan Kedah , Bukit Pinang

iklan

Video

Jumaat, 20 Oktober 2017 2:30 PM

Umur Dah Lanjut Pun Nak Menyanyi Lagi?

Jumaat, 20 Oktober 2017 9:00 AM

#akuStar: Irfan Haris - Pesan

Jumaat, 20 Oktober 2017 8:30 AM

Donut Untuk Sang Hero

Khamis, 19 Oktober 2017 1:00 PM

Lebih Baik Jual Album Sendiri - Firman

Khamis, 19 Oktober 2017 9:00 AM

Tudiaaa... Fesyen Mengancam Selebriti ASK2017

Khamis, 19 Oktober 2017 8:30 AM

Keringat Wanita Waja

Rabu, 18 Oktober 2017 10:52 AM

"Saya Bukan Ustaz" - Opick

Selasa, 17 Oktober 2017 2:49 PM

Video Majlis Resepsi 'Tycoon' Air Asia Tular

Selasa, 17 Oktober 2017 2:24 PM

Sabar Kakak, Benda Boleh Bincang...

Kolumnis

iklan

Iklan