Kemahiran Pakar Bedah Masih Tajam Walau Berusia 73 Tahun

Diterbitkan: Isnin, 24 April 2017 10:28 AM

Datuk Dr Siow Kuang Ling

(Ubah saiz teks)

JOHOR BAHRU: Beliau telah memenangi 10 pingat pada Pameran Reka Cipta Antarabangsa di Geneva, Switzerland tetapi perunding pakar bedah Datuk Dr Siow Kuang Ling, 73, tidak menunjukkan tanda-tanda untuk bersara.

Rekaan beliau, yang diilhamkan daripada pengalaman, keperluan dan pemerhatian mudah setiap hari terdiri daripada penutup botol pelbagai fungsi kepada dispenser cecair.

Sejak beliau mula mengambil bahagian dalam pameran antarabangsa pada tahun 2011, beliau telah memenangi sembilan pingat emas dan satu gangsa.

Tahun ini sahaja, pada edisi ke-45 pameran itu, datuk kepada tiga cucu itu menggondol tiga emas, masing-masing untuk penutup botol pintar, penutup 'hygienic' pintar pelbagai fungsi dan alat pengukur cecair tepat.

Alat pengukur rekaannya turut memenangi Anugerah Reka Cipta Sains dan Teknologi di Hong Kong.

Kesal dengan lalat yang sering hinggap di botol kicap dan botol perasa di gerai-gerai serta gerai burger, Dr Siow telah mendapat ilham untuk mencipta penutup botol yang akan terbuka apabila botol disengetkan dan tertutup sendiri apabila botol dalam keadaan tegak.

"Saya sering makan di luar dan sentiasa melihat lalat hinggap di botol-botol sos atau perasa di gerai-gerai, ini agak tidak bersih.

"Dari situlah saya mendapat idea untuk mencipta penutup botol pintar yang akan terbuka dan tertutup mengikut pergerakan botol. Penutup ini juga menghalang cecair daripada menitis dan meleleh ke bawah di bahagian luar botol," katanya dalam satu temu bual baru-baru ini.

Tambahnya, penutup botol pintar ini juga mempunyai 'kunci' dalaman yang menghalang semut daripada masuk ke dalam botol.

Beliau menggesa generasi muda untuk aktif menghasilkan rekaan dan tidak berputus asa apabila menghadapi halangan.

"Saya bermula lewat, pada usia 60 tahun, tetapi itu tidak menghalang saya daripada membuat kesilapan dan belajar perkara baru.

"Saya perlu mengkaji aspek teknikal terhadap konsep, sebagai contoh, mengkaji tekanan udara dan pergerakan cecair dalam usaha membolehkan rekaan saya berfungsi dengan baik," katanya.

Sebahagian daripada ciptaan beliau telah dijual kepada sebuah syarikat pemprosesan makanan dan multinasional.

Beliau berkata ciptaannya itu boleh digunakan dalam pelbagai industri, seperti perubatan, memasak dan kosmetik, bagi memudahkan pengukuran dan kawalan kualiti.

Dr Siow, yang masih melakukan pembedahan berkata beliau menghabiskan masa beberapa tahun untuk setiap rekaan, bermula dari konsep kepada penyelesaian.

Beliau berkata setakat ini tidak mempunyai keinginan untuk berhenti meneroka dan terus menghasilkan rekaan selagi kesihatan mengizinkan.

"Saya tidak terfikir untuk bersara. Ramai rakan saya, yang pernah menjadi pereka telah memilih untuk duduk di rumah dan menikmati persaraan mereka," katanya, sambil menambah beliau bermain golf dan bersenam untuk menjaga kesihatan.

Dr Siow mempunyai hospital sendiri di Johor Bahru.

Tags / Kata Kunci: Siow Kuang Ling , pakar bedah , pereka

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan