Adam Rosly Perlu Bercuti Dari Jawatan - Rafizi

Diterbitkan: Isnin, 24 April 2017 7:59 PM

Rafizi Ramli.

(Ubah saiz teks)

PETALING JAYA: Naib Presiden PKR, Rafizi Ramli menggesa Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK) Ampang, Datuk Adam Rosly supaya bercuti dari jawatannya.

Rafizi dalam satu kenyataan pada Isnin berkata, PKR amat tegas mengenai perkara-perkara yang bersabit dengan tadbir urus dan integriti.

Menurut Rafizi, beliau sebelum ini pernah membuat laporan mengenai dakwaan salah guna kuasa dan rasuah di Selangor.

"Sebab itu semasa kekayaan Adam Rosly mula-mula menarik perhatian ramai, saya serta-merta menasihatkan beliau supaya mengisytiharkan harta. 

"Ada perbezaan di dalam parti apabila ada beranggapan beliau tidak perlu mengisytiharkan harta kerana tidak menjawat sebarang jawatan kerajaan," katanya.

Bagaimanapun beliau tidak bersetuju dengan pandangan itu kerana piawaian moral dan integriti yang dipegang PKR perlu lebih tinggi dari parti-parti lain.

"Sama ada seseorang itu memegang jawatan awam atau tidak, seseorang yang memegang jawatan parti tidak boleh dilihat mengumpul kekayaan yang tidak boleh diterangkan kepada rakyat. 

"Maka, jika kekayaan itu dikumpul secara sah dan tanpa melibatkan kepentingan awam, saya yakin mana-mana pimpinan dalam parti ini boleh mengisytiharkan harta dengan mudah," katanya.

Rafizi turut berpendapat bahawa Adam, 29, boleh menjernihkan keadaan supaya tidak mengheret PKR ke dalam kemelut peribadi beliau dengan mengisytiharkan harta secepat mungkin. 

Beliau menambah, keengganan Adam mengisytiharkan harta menjejaskan nama baik PKR sehingga dijadikan bahan serangan musuh politik parti.

Sehubungan itu, Rafizi berkata, beliau dan rakan kepimpinan lain akan mengusulkan supaya satu tindakan diambil yang boleh menjarakkan kemelut peribadi Adam dengan PKR dan Pakatan Harapan.

Tambah Rafizi, ia boleh dilakukan sama ada melalui keputusan bersama kepimpinan PKR supaya membolehkan Adam 'bercuti' dari jawatan parti sehingga kesnya selesai atau melalui kaedah Lembaga Disiplin seperti yang disuarakan timbalan presiden parti, Datuk Seri Azmin Ali.

Beliau turut menangkis kebimbangan sekiranya meminta Adam 'bercuti' akan menetapkan satu teladan bahawa mana-mana pimpinan yang didakwa di mahkamah perlu juga 'bercuti' dari jawatan.

"Saya yakin kepimpinan dan aktivis parti dapat membezakan dan menangani setiap kes mengikut kepentingannya kepada parti.

"Oleh itu, tindakan yang menjarakkan PKR sebagai parti dari kemelut peribadi Adam perlu diputuskan segera terutama pilihan raya umum ke-14 boleh berlaku pada bila-bila masa," katanya.

Kekayaan Adam mendapat perhatian tahun lalu kerana memiliki banglo berbentuk istana di Ampang pada usia muda.

Adam bagaimanapun mempertahankan dirinya dengan memaklumkan kekayaan itu termasuk RM1 juta untuk membeli kediaman mewah itu diperolehi hasil perniagaan yang diceburinya selain mewarisi daripada keluarganya.

Beliau juga memperoleh gelaran Datuk yang dikurniakan Pahang kerana sumbangannya kepada beberapa projek di negeri berkenaan.

Pada Jumaat lalu, Adam didakwa kerana memberikan keterangan dan dokumen palsu kepada pegawai Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) semasa menjalankan siasatan.

Beliau bagaimanapun mengaku tidak bersalah terhadap semua pertuduhan.

Tags / Kata Kunci: Adam Rosly , Rafizi Ramli

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan