Polis Thai Lumpuhkan Sindiket Dadah, Rakyat Malaysia Ditahan

Diterbitkan: Jumaat, 21 April 2017 8:17 AM

Mr T. Foto Bernama

(Ubah saiz teks)

BANGKOK: Polis Thailand berjaya menumpaskan sindiket dadah antarabangsa dengan tertangkapnya seorang rakyat Malaysia yang dipercayai menjadi dalang utama dalam penyeludupan ratusan kilogram ice, dadah jenis methamphetamine, ke Malaysia.

Polis berkata, lelaki rakyat Malaysia yang digelar ‘Mr T’ dari Johor itu juga bertanggungjawab atas cubaan menyeludup 282 kilogram (kg) ice bernilai jutaan ringgit oleh dua rakannya ke Malaysia melalui sempadan Sadao pada Mac tahun lepas, yang dipatahkan pihak berkuasa.

Mr T itu ditahan di Lapangan Terbang Hatyai pada Rabu, sejurus tiba dari Chiang Rai.

“Dua lelaki Malaysia yang ditahan dengan 282kg ice tahun lepas memberitahu pihak berkuasa bahawa dadah itu milik Mr T,” kata Timbalan Komander Biro Penindasan Narkotik Thailand (NSB) Mej Jen Supakit Srijantaranon pada sidang media di sini, Khamis.

Kedua-dua lelaki berkenaan, katanya turut memaklumkan kepada pihak berkuasa bahawa lelaki dari Johor itu telah membantu antara empat ke lima cubaan berjaya menyeludup dadah ke Malaysia, masing-masing membawa kira-kira 100kg ice ke lokasi yang tidak dinyatakan di Malaysia.

Beliau berkata, polis Thai juga menahan seorang wanita tempatan dan seorang lelaki Taiwan di Chiang Rai serta seorang wanita Thai di Chiang Mai pada Rabu, kesemuanya dipercayai anggota sindiket dadah antarabangsa, dalam operasi susulan.

Ketua NSB Lt Jen Sommai Kongvisaisuk, yang turut hadir pada sidang media itu berkata, polis percaya Mr T pergi ke Chiang Rai untuk membuat pesanan bagi satu lagi kiriman dadah.

“Lelaki Malaysia itu dan isterinya warga Thailand menjalankan banyak perniagaan,” katanya.

Sementara itu, Supakit berkata berikutan penahanan empat suspek semalam, pihak berkuasa merampas kira-kira wang tunai 30 juta Baht (anggaran RM3.8 juta) dalam beberapa mata wang dan 20 juta Baht dalam aset lain.

Sebanyak 20 juta Baht lagi dalam aset turut dirampas daripada sindiket yang sama beberapa bulan lepas, menjadikan jumlah wang tunai dan aset yang dirampas daripada sindiket antarabangsa itu kepada 70 juta Baht (kira-kira RM8.8 juta), katanya.

Menurut beliau, pihak berkuasa Thai mendapat kerjasama baik dari China dan Malaysia serta negara Asean yang lain dalam mengumpul maklumat mengenai sindiket itu dan menahan dalangnya pada Rabu.

"Lebih daripada 10 syarikat di selatan Thailand diserbu yang membawa kepada penahanan empat orang semalam dan beberapa syarikat akan disiasat kerana disyaki mempunyai kaitan dengan sindiket dadah itu.

“Kami juga akan mengeluarkan waran tangkap terhadap suspek lain kemudian,” katanya.

Ketua Pejabat Lembaga Kawalan Narkotik (ONCB) Sirinya Sitdichai berkata, pihak berkuasa berjaya mengkaji kerja dalaman sindiket antarabangsa itu susulan penahanan dua lelaki Malaysia dengan 282kg ice pada Mac tahun lepas.

“Pihak berkuasa mendapati sindiket itu bukan sahaja mengedar dadah tetapi juga menjalankan perniagaan lain menggunakan wang yang diperoleh hasil daripada aktiviti dadah,” katanya.

Menurut Sirinya, pihak berkuasa akan menggunakan pelbagai undang-undang daripada undang-undang pencegahan penggubahan wang haram, hasil dan perbankan untuk membanteras sindiket dadah. - Bernama

iklan

Video

Isnin, 18 Disember 2017 2:45 PM

Kecoh Naim Daniel 'Berduet' Dengan Hantu

Ahad, 17 Disember 2017 9:00 AM

#akuStar: InTeam - Kasih Kekasih

Jumaat, 15 Disember 2017 2:27 PM

Biarlah Ia Berlalu" - Adi Putra

Jumaat, 15 Disember 2017 11:51 AM

Aksi 'Rempit' Fasha Sandha Jadi Perhatian

Jumaat, 15 Disember 2017 9:00 AM

#akuStar: Pesawat - Luluh

Khamis, 14 Disember 2017 1:00 PM

Peminat Lega Tiada Suara 'Kepit' Sajat

Rabu, 13 Disember 2017 9:00 AM

Jadi Pilihan Pekin Ibrahim, Siapa Donny Alamsyah?

Kolumnis

iklan

Iklan