Pemilik Tak Tahu Anjing Peliharaan Tular

Diterbitkan: Khamis, 20 April 2017 11:18 AM

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: Gambar seekor anjing di tebing sebuah pangsapuri di Taman OUG telah menyebabkan kekecohan di media sosial, tetapi pemiliknya langsung tidak tahu tentang apa yang berlaku sehinggalah didatangi pegawai penguatkuasa.

Pemilik anjing, seorang pemandu teksi berusia 52 tahun itu sedang membuat persediaan untuk berpindah ke rumah barunya di Subang Jaya petang Rabu.

Lelaki itu berkata, anjing berkenaan telah diletakkan di balkoni beberapa hari sebelum ini supaya ia tidak mengganggu keluarganya yang sibuk mengemas untuk berpindah.

Lelaki berkenaan yang menetap di situ bersama isteri dan dua anaknya, tidak menyedari bahawa anjing itu telah terlepas dari balkoni dan terperangkap di bahagian tebing sempit tanpa pagar.

Sehinggalah empat pegawai dari Bahagian Penguatkuasa Jabatan Perkhidmatan Haiwan Kuala Lumpur mengetuk pintu rumah mereka kira-kira jam 9 pagi Rabu.

Jabatan itu menerima laporan dari Persatuan Pencegahan Penganiayaan Haiwan Selangor (SPCA) malam Selasa dan telah berkunjung ke apartmen itu pada hari berikutnya.

"Pemilik itu berkata dia tidak sedar anjingnya dapat melepaskan diri melalui jaring besi di balkoni rumahnya," kata seorang pegawai, Masdin Ubin, ketika ditemui di bangunan tersebut.

Seorang lagi pegawai, Mohd Subhy Mohd Basaruddin berkata anjing jantan berusia lima tahun itu kelihatan sihat dan normal.

"Pemilik sedang tidur ketika kami tiba, mereka seolah-olah hairan. Apabila kami beritahu bahawa kes itu telah tersebar luas, dia kata 'Eh sudah adakah?'," katanya.

Pemilik telah diberi amaran supaya tidak meletakkan anjing di balkoni pada masa akan datang.

Pada Isnin, pihak pengurusan pangsapuri telah mengeluarkan amaran kepada pemilik berhubung kejadian itu.

"Bagaimanapun, alamatnya salah. Pemilik anjing tidak mendapat sebarang amaran," kata Mohd Subhy.

Bertentangan dengan dakwaan yang dibuat oleh kumpulan penyelamat haiwan di Facebook bahawa jabatan itu telah menerima laporan mengenai perkara itu pada 2016, beliau berkata ia sebenarnya laporan kali pertama.

Di bawah Seksyen 44 Akta Haiwan, mereka yang didakwa kerana mendera haiwan boleh dikenakan denda RM50,000, penjara setahun atau kedua-duanya.

Tags / Kata Kunci: anjing tular , Taman OUG

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan