Trend Remaja Bawa Dadah, Berhibur Di Danok Membimbangkan

Diterbitkan: Isnin, 17 April 2017 6:01 PM

(Ubah saiz teks)

BUKIT KAYU HITAM: Trend remaja termasuk penuntut institut pengajian tinggi membawa dadah sintetik dipercayai untuk ''berhibur'' di pekan kecil Danok, Selatan Thailand adalah membimbangkan.

Komander Agensi Kawalan Keselamatan Sempadan Malaysia (Aksem) Kedah, Abdul Latif Abd Rahman berkata, berdasarkan statistik yang direkodkan pihaknya mendapati 99 peratus rampasan berkaitan dadah dilakukan oleh remaja seawal usia 19 hingga 30 tahun.

"Kebanyakan mereka ditahan ketika cuba membawa masuk dadah sintetik seperti syabu dan erimin ke sebelah Danok dan kita percaya ia digunakan oleh mereka sendiri atau dibekalkan untuk rakan-rakan mereka yang menunggu di sana," katanya.

Katanya, beliau melihat trend tersebut membimbangkan memandangkan kebanyakan remaja berkenaan yang juga terdiri daripada penuntut institut pengajian tinggi dan kolej sekitar Jitra begitu mudah ''melangkah masuk'' ke pekan yang tidak sampai satu kilometer pun dari sempadan negara itu.

"Bayangkan dengan hanya RM10 mereka boleh memperoleh pas sempadan dan bermalam di Danok untuk berhibur dan untuk tujuan lain," katanya.

Abdul Latif berkata, kebiasaannya remaja terlibat akan bergerak secara individu menggunakan motosikal pada sebelah malam dan menyembunyikan dadah pada kaki menggunakan pita pelekat atau diletakkan di bahagian bawah tempat duduk.

Pada tahun ini, sehingga Mac sahaja Aksem Kedah merekodkan RM25,350 nilai rampasan dadah dan hampir keseluruhannya membabitkan remaja.

Sementara itu, Pengarah Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) Kedah, Mohammad Nazer Mustafa yang mengakui perkara itu berkata, berdasarkan kepada operasi bersepadu yang dilakukan sebelum ini, golongan muda paling banyak berkunjung ke Danok pada hujung minggu.

"Mereka akan bermalam di Danok memandangkan banyak pusat hiburan di sana dan keluar pada awal pagi ketika pintu sempadan dibuka. Kebanyakan mereka ini masih lagi belajar ," katanya.

Sebanyak 105 kes positif dadah dalam kalangan pelajar sekolah dicatatkan sehingga Mac tahun ini, berbanding 344 pada tahun lalu dan 374 (2015).

Penggunaan dadah sintetik memang popular dalam kalangan remaja ketika ini apabila 90 peratus daripada kes yang dicatatkan membabitkan pengambilan syabu, katanya. - BERNAMA 

Tags / Kata Kunci: dadah , Danok , IPT

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan