Empangan Kahang Siap Bulan Depan

Diterbitkan: Isnin, 17 April 2017 5:54 PM

Empangan Kahang akan siap sepenuhnya pada Mei.

(Ubah saiz teks)

KLUANG: Projek pembinaan Empangan Kahang berdekatan Felda Kahang Timur di sini, yang dimulakan sejak Mei 2014, bakal siap sepenuhnya bulan depan, kata Pengerusi Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN) Datuk Liang Teck Meng.

Beliau berkata projek pembinaan di bawah Rancangan Malaysia Ke-10 (RMK10) yang bertujuan memenuhi keperluan sumber air bagi daerah Kluang sehingga 2060, berjalan mengikut jadual ditetapkan dan kini sudah 97.35 peratus siap.

"Sejak beberapa tahun kebelakangan ini, daerah Kluang sering mengalami gangguan bekalan air disebabkan sumber air mentah yang berkurangan khususnya semasa musim panas dan sehubungan itu, kerajaan pusat dan negeri merancang pembinaan empangan ini bagi memastikan bekalan air mencukupi di daerah ini," katanya.

Liang yang juga Anggota Parlimen Simpang Renggam berkata demikian kepada pemberita selepas melawat tapak projek Empangan Kahang, Tapak Pelupusan Sisa Pepejal di Ladang CEP 1 dan Loji Rawatan Air (LRA) Simpang Renggam, di sini Isnin.

Beliau yang berpuas hati dengan kemajuan pembinaan Empangan Kahang berkata projek itu dilaksanakan Bahagian Bekalan Air, Kementerian Tenaga, Teknologi Hijau dan Air (KeTTHA) dengan kos sebanyak RM86.28 juta dengan penakungan air bermula hujung tahun lepas.

Menurutnya empangan berkapasiti 21 juta meter padu itu mampu membekalkan keperluan sumber bekalan air mentah sebanyak 80 juta liter sehari kepada pengguna selain mampu menampung bekalan air sehingga 210 hari (tujuh bulan) sekiranya kawasan Kluang tidak menerima hujan dalam tempoh berkenaan.

"Sebuah LRA Kahang juga akan dibina dalam masa terdekat untuk merawat air mentah yang disalurkan dari Empangan Kahang sebelum dibekalkan ke bandar Kluang dan sekitar. Buat masa ini, ia masih dalam proses tender dan kita jangkakan ia dapat disiapkan dalam tempoh dua tahun lagi," katanya.

Sementara itu, Liang berkata gangguan LRA Simpang Renggam akibat pencemaran ammonia di Sungai Benut dijangka dapat diselesaikan apabila kerja menaik taraf Tapak Pelupusan Sisa Pepejal di Ladang CEP 1, siap September ini.

Beliau berkata Jabatan Pengurusan Sisa Pepejal Negara (JPSPN) sudah mengambil tindakan sewajarnya untuk menaik taraf tapak pelupusan berkenaan termasuk membina kolam pengasingan ammonia, organik dan logam berat mulai November tahun lepas.

Katanya LRA Simpang Renggam membekalkan air ke Felda Layang-Layang, Machap, Simpang Renggam dan Benut, buat masa ini LRA itu merawat air secara purata sebanyak 56 juta liter sehari bagi membekalkan air kepada 9,500 akaun.

"LRA Simpang Renggam sering mengalami kekurangan pengeluaran air sejak akhir-akhir ini disebabkan pencemaran ammonia Sungai Benut yang berpunca daripada Tapak Pelupusan Sisa Pepejal di Ladang CEP 1. Sejak awal tahun hingga hari ini, pengeluaran loji tersebut telah terjejas sebanyak 19 kali dengan jumlah masa 190 jam," katanya. - BERNAMA 

Tags / Kata Kunci: Empangan Kahang , SPAN

iklan

Video

Jumaat, 22 September 2017 2:00 PM

Ella Gamit Kenangan Bersama The Boys

Jumaat, 22 September 2017 9:00 AM

#akuStar: Andi Bernadee - Tiada Lagi Maaf

Khamis, 21 September 2017 2:00 PM

Monoloque Tak Habis-Habis Nak Sindir Orang!

Khamis, 21 September 2017 9:00 AM

Popular? Tolak Tepilah! - Bob (AF2)

Rabu, 20 September 2017 4:00 PM

Irfan Haris Nafi Tumpang Populariti Kakak

Selasa, 19 September 2017 2:00 PM

Keluh-Kesah Jalil Hamid

Selasa, 19 September 2017 9:00 AM

Kau Buat #OOTD Pun Riaklah! - Wak Doyok

Isnin, 18 September 2017 2:30 PM

Belum Masa Gantung Skrip – Naim Daniel

Kolumnis

iklan

Iklan