Pelajar Sasaran Edar Dadah Dalam Talian

Diterbitkan: Ahad, 16 April 2017 9:11 AM

Gambar hiasan.

(Ubah saiz teks)

BANGI: Operasi pengedar dadah kini beralih kepada kegiatan secara dalam talian bagi mengelak ditahan pihak berkuasa.

Malah mereka menggaji pelajar untuk mengedarkan dadah.

Pengarah Penguatkuasaan dan Keselamatan AADK, Zainudin Abdullah berkata, operasi menerusi media sosial dapat mengurangkan sesi tawar-menawar, penjenayah akan mengedar dadah sebaik sahaja butiran jual beli dimuktamadkan menerusi khidmat pesanan seperti WeChat dan WhatsApp.

"Pembeli akan menghubungi pembekal secara dalam talian. Kebiasaannya wang dimasukkan ke dalam akaun bank pihak ketiga terlebih dahulu sebelum menghantar dadah.

"Penghantaran dibuat sama ada disampaikan individu atau meletakkannya di satu lokasi yang dipersetujui," katanya kepada Sunday Star.

Zainudin berkata, halaman Facebook berkaitan ganja tumbuh bagaikan cendawan. Mereka juga secara terbuka mempromosikan jualan produk tersebut.

Beliau menambah, media sosial menjadi platform yang semakin popular untuk membeli dan menjual narkotik dengan lebih mudah.

"Ganja dijual sama ada sebagai dadah atau bersembunyi di bawah nama 'makanan kesihatan tambahan' bagi mengaburi orang awam dan pihak berkuasa," katanya.

Mengenai modus operandi terbaharu, katanya, kanak-kanak dan remaja menjadi sasaran pengedar untuk menjual dadah.

"Mereka mencari pelajar sekolah rendah dan menengah yang mempunyai masalah disiplin, tidak aktif dalam aktiviti sekolah atau datang dari keluarga miskin," katanya.

"Mereka ini menerima arahan dengan baik dan tidak minta banyak wang. Mereka dibayar murah.

"Lebih sukar bagi pihak berkuasa untuk mengesan aktiviti pengedaran dadah membabitkan kanak-kanak, dan sekiranya ditangkap, tindakan penguatkuasaan tertakluk kepada pelbagai peraturan berkaitan kanak-kanak," tambah Zainudin.

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan