Pembalakan Di Kawasan Tadahan Air Ulu Muda

Diterbitkan: Jumaat, 14 April 2017 9:15 AM

Sebuah lori balak yang membawa tangki minyak dikesan diletakkan di tapak pembalakan di kawasan bukit dekat Kampung Landai dekat empangan Ulu Muda di Sik, Kedah. Foto G.C TAN/The Star

(Ubah saiz teks)

SUNGAI PETANI: Selepas hampir setahun pembalakan secara berleluasa di Hutan Simpan Ulu Muda yang menjejaskan kawasan tadahan air dan empangan, kini laluan lori balak kembali dikesan di kawasan itu.

Laluan yang dikesan di kawasan tadahan di hutan simpan dekat Sik, dipercayai telah digunakan pembalak sejak awal tahun ini.

Seluas lima meter, laluan tersebut sepanjang lebih 15 kilometer menuju ke bukut di sepanjang tasik Ulu Muda.

Pemeriksaan The Star pada Rabu lalu mendedahkan ratusan kayu balak diletakkan di tapak berkenaan. Terdapat juga jentera berat diletakkan di situ.

Satu papan tanda di tapak tersebut menunjukkan permit yang dikeluarkan oleh pegawai Pejabat Hutan Daerah Kedah Tengah di Sungai Petani kepada pemegang lesen yang membawa keluar hasil pembalakang di jalan kedua 112, 113, 114, 115, 116, 118 dan 177.

Nama kontraktor juga tertera di papan tanda tersebut. Permit sah sehingga 1 Mei, dan ia dikuatkuasakan pada 2 November tahun lalu.

Selain itu, terdapat satu lagi papan tanda yang memaparkan pemegang lesen adalah Perbadanan Menteri Besar Kedah. 

Kawasan itu disenaraikan sebagai kawasan seluas 200 hektar dengan permit sah dari 3 Julai sehingga 4 Oktober tahun lalu.

Pandangan atas di kawasan sekitar tasik Ulu Muda. Turut kelihatan laluan sepanjang 15 kilometer. Foto dron ZAINUDIN AHAD/The Star

Keluasan Hutan Simpan Ulu Muda adalah dari sempadan Thailand di Yala ke Baling di utara Perak, di mana ia dua kali ganda saiz Singapura.

Ia dikatakan syurga buat pecinta hidupan liar dan alam semula jadi.

Walaupun aktiviti pembalakan itu dilihat mengikut undang-undang, persoalannya mengapa pembalakan dibenarkan di kawasan tadahan yang penting?

Pakar klimatologi dan pengurusan bahaya banjir, hidrologi dan sumber air Universiti Sains Malaysia (USM), Prof Dr Chan Ngai Weng berkata, kerajaan Kedah seharusnya mengazetkan kawasan itu sebagai kawasan tadahan air.

"Apabila ia dilakukan (gazet), maka tidak boleh melakukan pembalakan di situ. Kita amat bimbang tentang kesan pembalakan di kawasan tadahan.

"Air hujan tidak mengalir ke dalam tanah, ia mengalir ke sungai dan kemudian ke laut.

"Pembalakan akan mendedahkan tanah. Hakisan air hutan dan hakisan permukaan akan menyebabkan mendapan ke sungai, mengakibatkan pencemaran air dan air sungai akan menjadi cetek.

"Keadaan itu akan menyebabkan kapasiti air akan berkurangan," kata Ngai Weng sambil menambah bahawa kualiti air yang dibekalkan kepada orang ramai di kawasan sekitar turut terjejas.

Sehubungan itu, beliau menggesa kerajaan Persekutuan dan negeri mengambil langkah-langkah di Hutan Simpan Ulu Muda supaya hakisan tanah, mendapan tanah dan kelodak tanah berhenti daripada mengalir ke sistem saliran dan perparitan.

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan