Perkasakan Kebebasan Jabatan Audit Negara - Ambrin

Diterbitkan: Khamis, 13 April 2017 11:17 AM

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: Tan Sri Ambrin Buang yang bersara baru-baru ini setelah 11 tahun berkhidmat sebagai Ketua Audit Negara berharap kebebasan jabatan itu dapat diperkasakan lagi pada masa akan datang.

Menurut beliau, Jabatan Audit Negara (JAN) perlu diperkasakan lagi dari segi kebebasan daripada kawalan luar jabatan serta diberi autonomi dari segi pengurusan sumber manusia dan bajet.

Dalam temu bual dengan Bernama baru-baru ini, Ambrin yang bersara pada 22 Feb lepas berkata, langkah ini penting ke arah menjadikan jabatan itu sebuah institusi audit negara yang benar-benar bertaraf dunia dan setanding dengan negara-negara maju.

Berikut ialah transkrip penuh temu bual berkenaan.

SOALAN: Laporan Ketua Audit Negara dilihat banyak membantu Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) untuk menjalankan siasatan lanjut dan seterusnya membawa kes ke mahkamah dalam usaha memerangi ketirisan dalam pengurusan kewangan negara.

Sebagai contoh kes membabitkan pegawai kanan Jabatan Air Negeri Sabah. Itu pun berdasarkan sebahagian kecil sahaja audit yang dijalankan ke atas kementerian dan agensi kerajaan.

Apakah yang JAN perlukan jika usaha itu hendak merangkumi kesemua secara menyeluruh?

AMBRIN: Disebabkan kekangan sumber seperti anggota dan bajet adalah sukar bagi JAN membuat pengauditan menyeluruh setiap tahun meliputi setiap jabatan dan agensi kerajaan di peringkat persekutuan, negeri dan tempatan.

Dari segi pengurusan kewangan kebanyakan jabatan dan agensi diaudit setiap tiga tahun bagi menentukan Indeks Akauntabiliti mereka, satu jangka masa yang difikir mencukupi untuk memantau penambahbaikan-penambahbaikan yang perlu dilakukan oleh mereka.

Dari segi pengauditan prestasi aktiviti-aktiviti jabatan dan agensi kerajaan, sebilangan kajian akan dijalankan mengikut rancangan audit tahunan JAN. 

Selain itu JAN juga menjalankan pengauditan khas atas permintaan agensi-agensi tertentu seperti SPRM , Unit Perancang Ekonomi (EPU) dan Kementerian Kewangan.

SOALAN: Sekarang ini boleh dikatakan setiap minggu, SPRM membuat tangkapan dan pendedahan mengenai kes rasuah. Orang ramai nampaknya berpuas hati dengan tindakan SPRM itu yang menunjukan keseriusan SPRM menangani jenayah itu.

Adakah perlu JAN mengeluarkan laporannya setiap minggu, dan bukannya tiga kali setahun seperti amalan sekarang? Maknanya setiap minggu JAN membuat pendedahan mengenai kepincangan pengurusan kewangan negara oleh kementerian dan agensi.

AMBRIN: Proses pengauditan dan penyediaan laporan audit yang berkenaan memerlukan ketelitian dan masa. Misalnya empat hingga lima bulan diperlukan bagi mengaudit prestasi sebelum penyediaan laporan yang hanya boleh dimuktamadkan selepas mengadakan 'exit conference' dengan pihak yang diaudit, yang disertai juga oleh wakil-wakil SPRM dan lain-lain agensi pusat.

Maka, adalah sukar untuk JAN membentang laporan audit lebih kerap dari amalan sekarang mengambil kira keupayaan JAN dari segi sumber manusia dan bajet.


SOALAN: Selalunya JAN dilihat membuat audit hanya setelah masalah dan kerugian berlaku. Bolehkah JAN mengambil 'pre-emptive action' sebelum masalah dan kerugian itu berlaku?

AMBRIN: Mengambil kira keupayaan terhad JAN untuk mengaudit setiap jabatan dan agensi kerajaan yang begitu banyak sekali gus adalah sukar bagi JAN mengambil 'pre-emptive action'. Namun jika diberi maklumat atau tips JAN boleh menjalankan penyiasatan. 

Namun tanggungjawab mengambil 'pre-emptive action' adalah terserah kepada ketua-ketua jabatan dan agensi sendiri yang merupakan Pegawai Pengawal. 
Mereka boleh menggunakan mekanisme-mekanisme yang sedia ada seperti audit dalaman, jawatankuasa pengurusan kewangan dan akaun, dan jawatankuasa audit dengan memastikan mekanisme ini benar-benar berkesan dan mengambil tindakan-tindakan 'corrective' dan 'punitif' sewajarnya.



SOALAN:
Daripada pemerhatian Tan Sri, sejauh mana kementerian dan agensi kerajaan membuat tindakan pembetulan setelah teguran dibuat oleh Laporan Ketua Audit Negara? 

AMBRIN: Sejak beberapa tahun yang lepas kerajaan telah mewajibkan ketua-ketua jabatan dan agensi kerajaan mengambil tindakan pembetulan terhadap teguran-teguran audit dan tindakan-tindakan ini dipantau sendiri oleh Jabatan Audit Negara secara berterusan dan dilaporkan kepada masyarakat menerusi sistem AG's Dashboard (Paparan Susulan Laporan Ketua Audit Negara) yang boleh diakses bila-bila masa.

SOALAN: Bagaimana Tan Sri ingin melihat Jabatan Audit Negara, contohnya, 10 tahun akan datang? 

AMBRIN: JAN mampu menjadi institusi audit negara yang benar-benar bertaraf dunia dan setanding dengan negara-negara maju sekiranya diperkasakan lagi dari segi kebebasan daripada kawalan oleh cabang eksekutif negara serta diberi autonomi dari segi pengurusan sumber manusia dan bajet.
Ini memerlukan pindaan kepada Perlembagaan Persekutuan. 


SOALAN: Apakah pengalaman yang Tan Sri tidak boleh lupakan sepanjang 11 tahun menjadi Ketua Audit Negara?

AMBRIN:
Antara pengalaman yang tidak boleh dilupakan ialah pengauditan ke atas kes-kes berprofil tinggi seperti 1Malaysia Development Berhad (1MDB), Port Klang Free Zone (PKFZ) dan National Feedlot Corporation (NFCorp). Melaksanakan sistem Index Akauntabiliti bagi pengurusan kewangan sektor awam, melaksanakan pengkaderan unit-unit audit dalam, menubuhkan Institut Audit Tertinggi Asean (Aseansai), pelantikan sebagai Pengerusi Pertubuhan Audit Negara Asia (Asosai) dan mempengerusikan Jawatankuasa Tindakan Susulan Laporan Ketua Audit Negara. Saya amat berterima kasih kepada Kerajaan Malaysia yang menyokong inisiatif-inisiatif memperkasakan peranan Jabatan Audit Negara bagi membantu meningkatkan kecekapan dan keberkesanan perkhidmatan awam dalam pengurusan kewangan dan pembangunan negara. 


SOALAN:
Apakah perancangan Tan Sri selepas bersara? 

AMBRIN:
Buat masa ini saya hanya merancang untuk menulis buku mengenai pengalaman saya. -- Bernama 

Tags / Kata Kunci: Ambrin , Jabatan Audit

iklan

Video

Isnin, 20 November 2017 9:00 AM

#BiziBody: Nabila Razali Simpan Foto Aedy Ashraf?

Ahad, 19 November 2017 9:00 AM

#akuStar: Cikgu Meera - Oh Sayangku

Jumaat, 17 November 2017 4:25 PM

Tokan Kantoi Bungkus Dadah Dalam Plastik Teh

Jumaat, 17 November 2017 2:00 PM

Pesawat Dedah Punca Menyepi

Jumaat, 17 November 2017 9:00 AM

#akuStar: Hyper Act - Kasih

Khamis, 16 November 2017 2:00 PM

“Kalaulah Diberi Watak Utama...” - Riz Amin

Khamis, 16 November 2017 9:05 AM

Tak Tipu! Rawang Bypass Memang Gayat

Khamis, 16 November 2017 9:00 AM

Sufi Tak Mampu Tolak Haqiem Rusli

Rabu, 15 November 2017 9:00 AM

Bakat Mafarikha Tersia-sia Enam Tahun

Kolumnis

iklan

Iklan