Jalan Runtuh Di Nami-Danglau Siap Dalam Dua Minggu

Diterbitkan: Selasa, 11 April 2017 1:34 PM

(Ubah saiz teks)

SIK: Kerja-kerja membaik pulih dan menurap semula jalan raya yang menghubungkan Nami dan Danglau yang terputus akibat tanah runtuh Sabtu lalu, dijangka siap sepenuhnya dalam tempoh dua minggu lagi.

Anggota Dewan Undangan Negeri Belantik yang juga Pengerusi Jawatankuasa Penerangan, Pembangunan Luar Bandar dan Pembasmian Kemiskinan Negeri, Datuk Mohd Tajudin Abdullah berkata tindakan segera telah diambil pihak berkenaan dan kerja-kerja membaiki kini sedang dijalankan.

"Hujan lebat yang berterusan serta arus deras menyebabkan tanah di laluan  Kilometer 155 berhampiran kawasan ladang getah di Kampung Charuk Pisang/Sedau itu runtuh.

"Bagaimanapun usaha membaik pulih laluan sudah dijalankan segera dan dijangka siap dalam tempoh dua minggu lagi," katanya kepada pemberita selepas meninjau kerja-kerja membaiki laluan itu.

Hadir sama Jurutera Daerah, Jabatan Kerja Raya (JKR) Sik, Shaiful Azhari Ahmad dan Eksekutif Syarikat Air Darul Aman (Sada) Daerah Sik, Mokhtar Ibrahim.

Mohd Tajuddin berkata biarpun tiada kemalangan jiwa berlaku dalam kejadian kira-kira pukul 12 tengah malam itu, namun seramai 2,000 penduduk terjejas apabila ia tidak dapat digunakan terutama penduduk di Nami dan Kubang Kesom.

"Runtuhan jalan terbabit yang dibina sekitar tahun 1982 itu turut menyebabkan gangguan bekalan air dan elektrik melibatkan kira-kira 17 buah kampung berhampiran.

"Namun tindakan segera telah diambil bagi memastikan gangguan yang berlaku pulih semula dalam tempoh kurang 24 jam," katanya.

Tambahnya peruntukkan berjumlah RM200,000 diluluskan bagi membaik pulih jalan terbabit namun buat sementara waktu penduduk perlu menggunakan laluan alternatif Felda Lubuk Merbau melalui Sungai Kap.

"Laluan ini agak jauh namun buat masa ini ia menjadi laluan alternatif yang perlu digunakan penduduk dan kita memohon maaf di atas kesulitan mereka," katanya.

Tags / Kata Kunci: Nami , Danglau , Sik , Kedah

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan