Sebenarnya.my Senaraikan Berita Palsu

Diterbitkan: Selasa, 11 April 2017 10:54 AM

(Ubah saiz teks)

PETALING JAYA: Lebih 250 berita palsu yang tular di media sosial kini disenaraikan di portal Sebenarnya.my sebagai rujukan orang ramai.

Sejak dilancarkan pada 14 Mac lalu, sebanyak 267 berita palsu disenaraikan meliputi isu sosial, nasional, ekonomi dan agama.

Berita palsu pertama yang disenaraikan di portal ini adalah 'Ubat di Klinik 1Malaysia Tidak Berkualiti' yang tular pada 10 Januari 2010 manakala laporan terbaharu mengenai berita palsu pada 7 April lalu berhubung dakwaan Sultan Kedah, Sultan Abdul Halim Mu'adzam Shah gering.

Portal Sebenarnya.my yang dibangunkan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (SKMM) membolehkan orang ramai menyemak kesahihan berita yang menular di laman sosial.

Menggunakan 'tagline' Tidak Pasti Jangan Kongsi, portal ini merupakan antara usaha kerajaan untuk mengekang penyebaran berita palsu bagi memastikan masyarakat menerima berita yang benar-benar sahih.

Sumber-sumber yang mengesahkan berita tular tersebut palsu berdasarkan penjelasan dan penafian kementerian, agensi dan pihak berkaitan termasuk laporan media.

Lima berita palsu yang popular di portal Sebenarnya.my ketika ini adalah Hospital Kuala Lumpur (HKL) Hidang Roti Berkulat Kepada Pesakit yang tular 13 Januari 2017, Paracetamol Diperbuat Daripada Tisu (tular 27 Februari 2017) dan Tentera Malaysia Terkena Ledakan Bom Oleh Pengganas (tular 11 Mac 2017).

Laporan berkanaan termasuk berita palsu mengenai 216 pelajar di Perak menghidapi H1N1 yang tular pada 10 Mac 2017 dan berita tentang Sultan Johor melarang kanak-kanak berusia di bawah 18 Tahun berkeliaran tanpa pengawasan selepas pukul 10 Malam (tular 20 Februari 2017).

Di portal berkenaan juga, isu sosial meliputi masyarakat, makanan, kepenggunaan, kesihatan dan sukan, manakala isu nasional terdiri daripada isu semasa, keselamatan dan pendidikan.

Maklumat yang berkaitan akan dikumpul, dianalisa, disahkan dan dimuat naik dalam portal itu untuk rujukan rakyat tanpa mengira latar belakang politik.

Terdahulu, Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Seri Dr Salleh Said Keruak berkata, SKMM sehingga kini telah mengenal pasti hampir 1,000 berita palsu yang mempunyai kepentingan awam menular dalam negara.

"Berita palsu, bukan sahaja mengelirukan, malah boleh mengancam keselamatan, kemakmuran dan kesejahteraan rakyat dan negara," katanya.

Orang ramai boleh menyalurkan maklumat menerusi portal Sebenarnya.my sekiranya ia mempunyai kepentingan awam dan negara, tetapi tidak dipastikan kesahihannya.

Ia boleh dibuat di bahagian 'salur kepada kami' dengan mengisi nama penuh, nombor telefon, alamat emel, subjek dan butiran maklumat tersebut.

Orang ramai juga perlu memilih sumber maklumat yang tular tersebut seperti aplikasi Whatsapp, Wechat, Facebook, Twitter, Telegram dan blog, termasuk mengisi alamat laman web yang memaparkan berita berkenaan.

Tags / Kata Kunci: Senarai.my , Berita Palsu , Tular

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan