Tangani Berita Palsu Secara Berkesan

Diterbitkan: Isnin, 10 April 2017 9:30 AM

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: Pejabat anda dihujani panggilan telefon daripada pelanggan yang tidak sabar bertanya mengapa mereka masih belum menerima tiket kapal terbang percuma seperti yang dijanjikan kerana mengambil bahagian dalam satu kaji selidik.

Anda kemudian mengetahui pelanggan menyertai kaji selidik itu yang dipaparkan di dalam sebuah laman web meragukan.

Atau apabila ada datang bekerja, sekumpulan pelanggan tidak berpuas hati menunggu di luar bangunan, menuntut mengapa mereka tidak dimaklumkan mengenai bayaran yuran jika mereka tidak memperbaharui kad keahlian pada akhir bulan.

Rupa-rupanya ada satu kenyataan di Facebook mengenai keputusan yuran baharu itu.

Dua insiden itu berlaku di Kuala Lumpur sejak setahun lalu.

Dalam sindiket penipuan, berita palsu dan 'fakta alternatif' seperti kes tersebut semakin berleluasa.

Satu insiden baru-baru ini melibatkan pengeluar kasut Bata Primavera Sdn Bhd yang didakwa menjual kasut dengan reka bentuk memaparkan kalimah Allah.

Bata akhirnya memanggil semula 70,000 kasut sekolah B-First dari 230 kedainya di seluruh negara.

Syarikat itu menanggung kerugian hampir RM500,000 dalam tempoh sebulan insiden tersebut berlaku.

Kasut itu hanya kembali dijual selepas Lembaga Pengawalan Dan Pelesenan Pencetakan Teks Al-Quran mengesahkan tulisan pada tapak kasut jenama Bata tidak menyerupai kalimah Allah.

Pada Februari lalu, AirAsia turut menjadi perhatian apabila jenamanya digunakan dalam kaji selidik sindiket tertentu yang menawarkan tiket percuma dan tiket palsu.

Pada 2014, syarikat penerbangan itu turut mengingatkan pelanggannya supaya berhati-hati dengan penipuan loteri dalam talian yang dibuat menggunakan jenamanya bagi mendapatkan maklumat peribadi daripada pelanggan.

Apa yang lebih mengejutkan adalah e-mel mengenai loteri itu telah menjadi viral sejak 2011.

Dan pada Januari tahun lalu, Public Bank dibanjiri pelanggannya yang ingin memperbaharui kad debit.

Satu kenyataan di laman Facebook yang mendakwa mereka akan dikenakan bayaran RM12 jika tidak memperbaharui kad tersebut sebelum 31 Januari telah menjadi viral.

Apa yang perlu dilakukan sesebuah syarikat yang menjadi mangsa berita palsu ini?

"Satu maklum balas yang cepat dan ringkas adalah yang terbaik.

"Sentiasa bersedia. Semakin berprofil tinggi sesuatu jenama itu, maklum balas pantas sepatutnya dilakukan," kata Ketua Komunikasi AirAsia Aziz Laikar.

Beliau berkata unit komunikasi perlu merangka kenyataan media yang cepat untuk berurusan dengan sesuatu isu sebelum ia menjadi krisis lebih besar.

Beliau menyenaraikan empat langkah yang boleh dilakukan sesebuah syarikat.

"Mula dengan bertindak balas segera menggunakan fakta melalui satu kenyataan ringkas kepada media dan juga platform media sosial," katanya.

Aziz turut menasihatkan syarikat supaya membuat laporan polis dan menggunakan peluang tersebut untuk mendidik orang ramai bahawa mereka perlu merujuk kepada pengumuman menerusi platform rasmi.

"Juga sebarkan maklumat dalaman kepada rakan-rakan anda. Setiap pekerja harus bertindak sebagai penyampai jenama.

"Mereka merupakan satu kuasa yang kuat untuk menyebarkan mesej yang tepat.

"Cara terbaik untuk menguruskan isu itu secara berkesan adalah memastikan syarikat sedar mengenai situasi tersebut dan dapat berkomunikasi dengan betul," katanya.

Tags / Kata Kunci: berita palsu , Bata , AirAsia

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan