Pelajar Malaysia Cerita Detik Cemas Serangan Bom Di Mesir

Diterbitkan: Isnin, 10 April 2017 7:43 PM

Kumpulan forensik mengumpul bahan bukti di lokasi serangan bom di gereja di Tanta, Mesir pada Ahad. Foto Bernama

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: Bunyi letupan bom, bangunan bergegar, kepulan asap dan orang ramai bertempiaran lari merupakan antara detik cemas dirasai sekumpulan pelajar Malaysia dalam insiden serangan bom di dua buah gereja Kristian Koptik di Mesir pada Ahad.

Mereka menyifatkan kejadian pada kira-kira 12 tengah hari waktu tempatan (6 petang waktu Malaysia) itu yang mengorbankan 47 orang dan mencederakan 137 orang itu sangat dahsyat dan menggemparkan kerana berlaku di kawasan yang sebelum ini aman dan sentiasa menjadi tumpuan pelancong.

Pelajar Fakulti Perubatan Universiti Iskandariah, Nurul Syafiqah Mohd Badri berkata, sewaktu kejadian beliau dan rakan-rakannya sedang berehat di dalam bilik sebelum digemparkan dengan letupan bom tersebut.

"Saya berlari keluar kerana terkejut dengan bunyi letupan yang sangat kuat kerana gereja berdekatan dengan bangunan kami. Bila saya pandang ke luar tingkap, semuanya berhabuk.

"Bila saya pandang bawah, jalan raya penuh dengan orang ramai yang menjerit-jerit termasuk golongan wanita. Bila kami semua sedar itu adalah bom, kami terus berkumpul dan duduk di dalam bilik hingga keadaan tenang.

"Kemudian, pengawal keselamatan mengunci bangunan dan pihak pengurusan tidak membenarkan sesiapa pun keluar masuk sehingga keadaan kembali terkawal sepenuhnya," katanya kepada Bernama pada Isnin.

Pelajar tajaan Majlis Amanah Rakyat (Mara) dan anak sulung dari dua beradik itu berkata, kelas pembelajaran berjalan seperti biasa namun pelajar tidak digalakkan untuk keluar jika tiada keperluan mendesak. 

Memandangkan lokasi biliknya berdekatan dengan gereja, beliau sempat mendengar dan melihat laungan daripada sekumpulan penunjuk perasaan beberapa jam selepas insiden itu namun tiada insiden tidak diingini berlaku.

"Mereka masih berbuat demikian sehingga empat jam lamanya. Mereka hanya berhenti selepas azan Asar kedengaran. Ketika itu, ambulans masih lagi kelihatan," katanya yang tidak putus-putus memanjatkan kesyukuran terselamat daripada insiden tersebut.

Rakan sekelasnya, Amir Zahin Al Mukmin Japar, 24, dari Melaka berkata, sejurus letupan bom, beliau terus ke tingkap dan merakamkan pergerakan ambulans dan teriakan orang ramai di bawah tempat tinggalnya yang terletak kira-kira 400 meter dari kawasan letupan.

Katanya beliau tidak percaya, jalan yang dilalui setiap hari itu, Sezostres Street bertukar menjadi kawasan yang dipenuhi darah dan lokasi letupan yang penuh dengan riuh rendah.

"Ya Allah rasa takut sangat sebab jalan tu memang selalu kami gunakan. Trafik di kawasan tersebut terhenti dan semua kenderaan yang berada di atas jalan itu tidak boleh bergerak, malah pemandu semua bertempiaran lari," katanya.

Jelasnya, beliau sempat menghubungi ibu bapa menerusi aplikasi WhatsApp sejurus kejadian dan dinasihatkan supaya tidak pergi ke masjid buat masa ini walaupun ia berdekatan.

Katanya, terdapat kira-kira 50 orang pelajar di dalam bangunan menempatkan pelajar tajaan Mara tersebut dan kini semuanya menunggu arahan lanjut daripada pihak pentadbiran sama ada perlu pulang ke Malaysia atau kekal di sana.

Seorang lagi pelajar perubatan di universiti yang sama, Muhammad Zikry Hamedi, 23, berkata susulan insiden itu pihak Mara Mesir dan Kedutaan Besar Malaysia di Kaherah telah mengeluarkan nasihat menerusi SMS menggesa pelajar Malaysia yang berada di Iskandariah untuk berhati-hati dan mengikut nasihat keselamatan sehingga keadaan stabil.

"Buat masa sekarang, kelas dan pembelajaran berjalan seperti biasa, cuma kami dinasihatkan supaya tidak keluar dari premis atau asrama sekiranya tiada urusan yang penting," katanya dan menambah pelajar juga dinasihatkan tidak menghampiri kawasan gereja St. Mark dan gereja-gereja sekitar Iskandariah.

Beliau berkata sehingga kini bekalan makanan, minuman dan talian komunikasi masih lagi stabil dan boleh digunakan selepas insiden tersebut berlaku.

Seorang lagi pelajar, Hanna Maisara Johari, 20, dari Fakulti Pergigian Universiti Iskandariah pula berkata sehingga kini, beliau dan rakannya yang menyewa di sekitar kawasan universiti tidak kerap keluar dan hanya menunggu perkembangan daripada pihak berkuasa dan pentadbiran.

Beliau menzahirkan kebimbangan apa yang akan berlaku kelak memandangkan ada di antara rakan sekelasnya yang beragama Kristian dan sama ada insiden itu akan menjejaskan hubungan sesama mereka.

"Saya tidak tahu apa yang berlaku kepada mereka. Jujurnya, orang Kristian dan orang Islam di sini sangat rapat dan begitu baik antara satu sama lain. Saya tidak faham kenapa insiden bom itu boleh berlaku.

"Saya harap ia tidak seteruk seperti apa yang terjadi sewaktu seperti zaman revolusi beberapa tahun lepas," katanya yang turut bimbang kemungkinan peperiksaan akan ditangguhkan sehingga keadaan pulih sediakala.

Serangan bom pertama di Tanta itu telah meragut 29 nyawa dan mencederakan 71 orang manakala serangan kedua di Iskandariah telah mengorbankan 18 orang dan mencederakan 66 orang. - Bernama

iklan

Video

Khamis, 21 September 2017 9:00 AM

Popular? Tolak Tepilah! - Bob (AF2)

Rabu, 20 September 2017 4:00 PM

Irfan Haris Nafi Tumpang Populariti Kakak

Selasa, 19 September 2017 2:00 PM

Keluh-Kesah Jalil Hamid

Selasa, 19 September 2017 9:00 AM

Kau Buat #OOTD Pun Riaklah! - Wak Doyok

Isnin, 18 September 2017 2:30 PM

Belum Masa Gantung Skrip – Naim Daniel

Jumaat, 15 September 2017 2:00 PM

Cassidy Malu Cakap Melayu?

Jumaat, 15 September 2017 9:00 AM

#akuStar: Payslip - Semangat Yang Hilang

Kolumnis

iklan

Iklan