Belia Islam Pamer Kreativiti

Diterbitkan: Isnin, 10 April 2017 10:31 AM

Adlin Amira menawarkan kerepek bronis yang rangup.

(Ubah saiz teks)

PUTRAJAYA: Makanan merupakan lambang budaya dan hidangan berbeza boleh didapati di bawah satu bumbung di Anjung Floria di sini yang menjadi lokasi Festival Makanan & Fesyen Islam 2017.

Festival selama dua hari itu yang berakhir pada Ahad dianjurkan bersama Forum Persidangan belia Islam untuk Dialog dan Kerjasama (ICYF-DC), Kementerian Belia dan Sukan serta Perbadanan Putrajaya.

Ia bertujuan mempamerkan kreativiti belia Islam dalam bidang masakan, fesyen dan muzik.

Usahawan Kyrgyz, Ulanbek Ergeshov bukan sahaja mengetengahkan hospitaliti dari negara Asia Tengah itu tetapi juga makanan ringan.

"Saya menyertai festival ini untuk menunjukkan kepada pengunjung sebahagian budaya masyarakat Kyrgyzstan seperti pakaian dan membolehkan orang ramai mencuba makanan kami," katanya.

Makanan ringan masyarakat Kyrgyz seperti boorsok, campuran doh yang digoreng, snek berasaskan susu kering dan masin boleh diperolehi di gerai miliknya.

"Kyrgyzstan terkenal dengan madu yang sangat manis dan saya juga membawa beberapa walnut Kyrgyz dan aprikot kering untuk dicuba pengunjung," kata Ergeshov.

Terdapat kira-kira 20 gerai yang mempamerkan pelbagai jenis makanan halal daripada negara Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC).

Usahawan dari Malaysia, Adlin Amira Ahmad Ridzwan, 18, pula menawarkan snek tempatan dikenali sebagai kerepek bronis diperbuat daripada brownies coklat konvensional yang rangup.

"Tidak ramai tahu mengenainya, jadi kami mahu mempromosikan makanan ini," katanya.

Mansour Elh Amani, 28, dari Republik Niger menyediakan hidangan alkaki yang dihasilkan menggunakan doh gandum goreng yang direndam dalam madu, kacang tanah dan kek bijan.

"Ia pertama kali saya berada di Malaysia dan saya amat gembira dapat mempromosikan makanan dari negara saya," katanya.

Selain itu, pertunjukan fesyen Islam dan persembahan kelab muzim SMK Cheras dipanggil Sapelele turut diadakan.

Dengan bantuan alat muzik tradisional Sarawak, sape dan gendang, pelajar tersebut melakukan persembahan dan menyanyikan lagu popular dalam bahasa Melayu, Hindi, Mandarin dan Thai.

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan