1 April: Wajib Mohon Pekerja Asing Secara Dalam Talian

Diterbitkan: Khamis, 6 April 2017 12:30 PM

(Ubah saiz teks)

PUTRAJAYA: Semua majikan diwajibkan membuat permohonan mendapatkan pekerja asing secara dalam talian mulai 1 April, kata Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Beliau yang juga Menteri Dalam Negeri berkata peraturan itu terpakai bagi permohonan pekerja asing dari semua negara sumber kecuali permohonan pembantu rumah asing.

Beliau berkata langkah itu dilaksanakan bagi memastikan majikan tidak tertipu oleh ejen dan membayar kos berlebihan serta mengelakkan ejen mengambil kesempatan terhadap kesempitan pekerja asing.

"Keputusan mewajibkan permohonan secara dalam talian adalah demi kebaikan semua agar KDN (Kementerian Dalam Negeri) dan Jabatan Imigresen tidak terus dilemparkan dengan pelbagai tuduhan," katanya kepada pemberita selepas perhimpunan bulanan KDN, di sini, Khamis.

Terdahulu dalam ucapannya semasa perhimpunan itu, Ahmad Zahid berkata permohonan sebelum ini boleh dibuat secara manual atau melalui ejen yang mengutip bayaran perkhidmatan tidak munasabah kepada bakal pekerja.Ahmad Zahid menyelar ejen yang mengambil kesempatan terhadap kesusahan pekerja asing.

"Yang mahu kerja di sini orang susah, mereka bayar puluhan ribu Ringgit, jual rumah, jual hartanah, ambil pinjaman dengan along di negara mereka.

"Bila (mereka) berlambak di sini, tiada majikan ambil mereka bekerja dan akhirnya harta mereka dilelong, anak isteri yang tinggal susah dikejar oleh along," katanya.-- Bersama


Tags / Kata Kunci: 1 April , Ahmad Zahid , pekerja asing

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan