Dewan Rakyat Lulus RUU Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017

Diterbitkan: Selasa, 4 April 2017 7:03 PM

Rang Undang-undang (RUU) Kesalahan-kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017 bertujuan melindungi kanak-kanak daripada jenayah seksual. Gambar hiasan.

(Ubah saiz teks)

DIKEMASKINI

KUALA LUMPUR: Rang Undang-undang (RUU) Kesalahan-kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017 diluluskan Dewan Rakyat pada Selasa.

RUU itu yang antara lain menganggap kanak-kanak sebagai saksi kompeten bagi kes jenayah seksual, dibentangkan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Azalina Othman Said dan diluluskan di peringkat dasar pada Isnin.

Ia diluluskan selepas dibacakan kali ketiga di hadapan Timbalan Speaker Dewan Rakyat, Datuk Ismail Mohamed Said kira-kira 6.15 petang.

Sebelum itu, ia dibahaskan antara kem kerajaan dan pembangkang dalam beberapa isu teknikal dalam RUU tersebut seperti umur, definisi mangsa, terma pornografi kanak-kanak, keterangan saksi dan kawasan kuasa pelaksanaan RUU itu.

RUU bertujuan melindungi kanak-kanak daripada jenayah seksual ini dicadang terpakai kepada kanak-kanak bawah umur 18 tahun, selaras Akta Kanak-Kanak 2001. 

Azalina ketika sesi penggulungan berkata, RUU itu menaikkan status kanak-kanak untuk memberi keterangan tanpa sokongan walaupun undang-undang sedia ada ketika ini menyatakan sebaliknya.

Bagaimanapun, beliau berkata, pihak mahkamah masih mempunyai kuasa untuk memberi pertimbangan sama ada mereka (kanak-kanak) boleh memberikan keterangan.

"Tiada definisi umur berhemah kanak-kanak, tetapi mahkamah memutuskan usia mentah adalah antara umur 13 tahun ke bawah. Oleh itu umur kanak-kanak bijak adalah dalam lingkungan 14 sehingga 18 tahun, mereka ini boleh memberi keterangan secara bersumpah," katanya.

Menjawab soalan P.Kasthuriraani (DAP-Batu Kawan) yang ingin tahu cara pendakwaan terhadap kanak-kanak berstatus tidak bernegara dan pelarian, Azalina berkata, prosedur dan pemakaian undang-undang adalah sama terhadap semua kanak-kanak sekiranya jenayah berlaku di Malaysia.

"Bagi menentukan umur kanak-kanak, pihak pendakwa akan memohon Polis Diraja Malaysia untuk kanak-kanak terlibat menjalani ujian dan sekiranya disahkan kanak-kanak akta-akta sedia ada adalah terpakai," katanya. 

Mengikut RUU itu juga, mana-mana orang yang membuat, menghasilkan, mengarahkan pembuatan atau penghasilan pornografi kanak-kanak boleh dikenakan hukuman penjara selama tempoh tidak melebihi 30 tahun dan hendaklah dihukum sebat tidak kurang enam sebatan, jika sabit kesalahan. 

RUU itu juga menyebut individu yang melakukan kesalahan amang seksual fizikal boleh dipenjara selama tempoh tidak melebihi 20 tahun dan boleh dihukum dengan sebatan, jika sabit kesalahan.

Ini termasuk menyentuh mana-mana bahagian badan kanak-kanak, membuatkan kanak-kanak menyentuh mana-mana bahagian orang itu atau melakukan kontak fizikal dengan kanak-kanak tanpa persetubuhan.

Bagi amang seksual bukan fizikal seperti melakukan aktiviti bersifat seksual di hadapan kanak-kanak selain mengikuti atau memerhati atau menghubungi seseorang kanak-kanak dengan apa cara berulang kali atau kerap, individu yang melakukan kesalahan itu boleh dipenjara selama tempoh tidak melebihi 10 tahun atau didenda tidak melebihi RM20,000 atau kedua-duanya.

RUU itu juga memperuntukkan mana-mana orang yang tidak memberikan maklumat mengenai perlakuan atau niat mana-mana individu untuk melakukan kesalahan, boleh didenda tidak melebihi RM5,000. - Bernama

iklan

Video

Jumaat, 22 September 2017 2:00 PM

Ella Gamit Kenangan Bersama The Boys

Jumaat, 22 September 2017 9:00 AM

#akuStar: Andi Bernadee - Tiada Lagi Maaf

Khamis, 21 September 2017 2:00 PM

Monoloque Tak Habis-Habis Nak Sindir Orang!

Khamis, 21 September 2017 9:00 AM

Popular? Tolak Tepilah! - Bob (AF2)

Rabu, 20 September 2017 4:00 PM

Irfan Haris Nafi Tumpang Populariti Kakak

Selasa, 19 September 2017 2:00 PM

Keluh-Kesah Jalil Hamid

Selasa, 19 September 2017 9:00 AM

Kau Buat #OOTD Pun Riaklah! - Wak Doyok

Isnin, 18 September 2017 2:30 PM

Belum Masa Gantung Skrip – Naim Daniel

Kolumnis

iklan

Iklan