Caj Cuci Muntah Umpama 'Denda' Pelanggan - Fomca

Diterbitkan: Selasa, 4 April 2017 11:58 AM

(Ubah saiz teks)

PETALING JAYA: Pelanggan yang menyebabkan 'kerosakan' peralatan atau kemudahan di sesebuah premis makanan dan kemudian dikenakan caj sebagai ganti rugi boleh menganggapnya sebagai denda.

Timbalan Presiden Gabungan Persatuan Pengguna Malaysia (Fomca) Mohd Yusof Abdul Rahman berkata, walaupun dalam sesetengah kes ia dilihat 'tidak masuk akal', tindakan itu adalah wajar dan dapat mengelakkannya daripada berulang.

"Denda mungkin boleh dikenakan kepada pelanggan seperti ini sebab ia boleh dijadikan pengajaran supaya mereka berkelakuan baik.

"Ini satu bentuk denda kepada pelanggan tersebut di atas tindakan dan kelakukannya yang mungkin boleh menjejaskan harta benda restoran dan memberi kesan psikologi kepada pelanggan lain," katanya kepada mStar Online, Selasa.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas tindakan Restoran Nasi Kandar Pelita cawangan Ampang yang mengenakan caj 'cuci muntah'  RM15 kepada pelanggannya yang mabuk dan muntah di dalam mangkuk dan di atas meja restoran, awal pagi Ahad.

Mohd Yusof berkata, walaupun tiada sebarang peraturan ditetapkan untuk kes seperti ini, pihak restoran boleh bertindak mengikut budi bicara.

"Tak ada peraturan kalau kes-kes macam itu.

"Dia (pelanggan) mabuk, apa yang dia muntah tu, araknya, baunya, mungkin itu yang menyebabkan caj dikenakan dan pelanggan terpaksa menerimanya," katanya.

Dalam hal ini, Mohd Yusof berkata, pelanggan dan pemilik premis makanan perlu tahu peranan masing-masing dan saling menghormati satu sama lain.

Katanya, apabila pihak restoran bersikap terbuka dengan menerima masuk semua pelanggan, oleh itu mereka perlu menjaga kelakukan dan beretika.

"Kadang-kadang restoran tak boleh halang pelanggan mabuk, kurang sopan, tapi apa yang diharapkan pelanggan perlu menghormati etika dalam sesebuah premis.

"Macam sekarang ada restoran larang pelanggan merokok tapi banyak juga yang merokok," katanya.

Beliau turut menggesa pengguna supaya tidak mempercayai sepenuhnya apa yang tular di internet, kerana ia tidak semestinya betul.

Gesaan ini dibuat selepas ada pihak yang cuba memfitnah dan memburukkan nama restoran berkenaan tanpa mengetahui situasi sebenar sehingga menyebabkan laporan polis terpaksa dibuat.

Tags / Kata Kunci: Fomca , cuci muntah , Nasi Kandar Pelita

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan