Orang Awam Bantu Tangkap Perompak Di ATM

Diterbitkan: Selasa, 4 April 2017 7:53 PM

Gambar hiasan.

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: Tindakan pantas orang awam yang membantu mangsa rompakan membawa kepada penahanan empat warga asing yang cuba merompak wang tunai sekurang-kurangnya RM3,000.

Wanita yang merupakan seorang penjawat awam pergi ke sebuah bank di Taman Maluri di sini pada kira-kira pukul 5.30 petang Isnin untuk mendepositkan wang tunai ke dalam akaunnya.

Sekumpulan empat lelaki kemudiannya datang menghampiri mangsa.

Ketua Polis Daerah Cheras, Asisten Komisioner Chong Kok Sin berkata, ketika kejadian wanita itu bersama anaknya.

"Mangsa memasukkan wang ke dalam mesin deposit tetapi sekeping wang kertas RM50 ditolak keluar.

"Mangsa cuba memasukkan semula wang kertas berkenaan. Bagaimanapun, ia dirampas oleh salah seorang daripada empat lelaki berkenaan lalu menawarkan bantuan," katanya ketika dihubungi pada Selasa.

Kok Sin berkata, wanita yang bimbang perkara tidak diingini berlaku kemudiannya mengambil semula wang kertas tersebut daripada suspek.

"Seorang lagi suspek menekan butang 'batal' di mesin deposit mengakibatkan baki kesemua wang ditolak keluar.

"Berlaku pergelutan antara mangsa dan suspek, dan salah seorang daripada mereka berjaya merampas kesemua wang sebelum melarikan diri," katanya.

Bagaimanapun, orang awam yang menyaksikan insiden itu mengejar dan menangkap suspek.

Kok Sin berkata, dua suspek mengalami kecederaan di bahagian kepala dan dihantar ke Pusat Perubatan Universiti Kebangsaan Malaysia (PPUKM) untuk menerima rawatan.

Beliau menambah, orang ramai kemudiannya menghubungi polis selepas menahan kesemua suspek.

Menurut Kok Sin, keempat-empat suspek berusia antara 21 dan 37 tahun, dan dipercayai dari Pakistan, direman untuk siasatan.

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan