Polis Halang Dialog Tun M-Nazri, Canggah Perlembagaan - Muhyiddin

Diterbitkan: Isnin, 3 April 2017 3:08 PM

(Ubah saiz teks)

SHAH ALAM: Pihak polis didakwa bertindak luar daripada bidang kuasa mereka apabila menghalang dialog antara bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad dengan Menteri Pelancongan dan Kebudayaan, Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz.

Presiden Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata dengan halangan ini, pihak polis sebenarnya telah bertindak di luar bidang kuasa yang diberikan kepada mereka oleh Perlembangaan dan undang-undang negara.

“Tindakan pihak polis menghalang debat antara Tun Mahathir dan Nazri adalah tidak munasabah dan bercanggah dengan Perlembagaan.

“Secara tidak langsung, ini menyekat kebebasan rakyat untuk bersuara dan membantut usaha mencari kebenaran,” katanya dalam satu kenyataan media.

Sebelum ini, Sinar Harian sebagai penganjur kepada dialog Mahathir dan Nazri Aziz, mengumumkan pembatalan program terbabit yang dijadualkan pada 7 April susulan pembatalan permit kebenaran oleh pihak polis.

Pengarah Urusan Kumpulan Media Karangkraf, Datuk Hussamuddin Yaacob berkata, pembatalan ini dibuat selepas pihaknya menerima surat daripada Ketua Polis Daerah Shah Alam, Asisten Komisioner Shafien Mamat.

Tambahnya Muhyiddin lagi, beliau tidak lihat dialog antara dua orang tokoh politik boleh bertukar menjadi ancaman kepada keselamatan.

“Debat yang dijadualkan akan diadakan di Dewan Karangkraf, Shah Alam, iaitu satu tempat tertutup dengan jumlah hadirin yang terhad bukanlah satu ancaman kepada keselamatan atau ketenteraman awam.

“Seorang  yang waras tentunya tidak dapat membayangkan bagaimana debat antara dua orang tokoh politik yang diadakan di tempat yang tertutup dan terkawal boleh bertukar menjadi ancaman kepada keselamatan,” katanya lagi.

Sementara itu, Muhyiddin turut mengaitkan kejadian yang sama berlaku sebelum ini iaitu debat antara bekas Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Ahli Majlis Tertinggi Umno, Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek pada tahun 2008.

“Debat ini yang membincangkan isu kenaikan harga minyak yang merupakan isu politik yang hangat dibincangkan pada ketika itu berlangsung dalam suasana aman tanpa sebarang ancaman kepada keselamatan dan ketenteraman awam.

“Saya percaya suasana yang sama akan dapat dilihat dalam debat antara Tun Dr Mahathir dan Nazri jika ia dibenarkan berlangsung dan mereka yang hadir sudah tentu ingin mendengar hujah kedua-pihak dan bukannya untuk menimbulkan huru-hara,”katanya lagi. - Sinar Online

Tags / Kata Kunci: Mahathir Mohamad

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan