'Mat Lajak' Kembali Beraksi Di Jalan Raya

Diterbitkan: Isnin, 3 April 2017 10:01 AM

(Ubah saiz teks)

JOHOR BAHRU: Kumpulan berbasikal 'Mat Lajak' nampaknya masih tidak belajar daripada kejadian lalu apabila muncul semula di jalan-jalan utama di sini.

Polis telah menahan 22 remaja berusia antara 14 dan 17 tahun yang didapati berkumpul dan berlumba basikal di Jalan Lingkaran Dalam, bersebelahan Tanah Perkuburan Mahmoodiah, awal pagi Ahad.

Kesemua mereka ditahan ketika anggota polis sedang membuat rondaan di kawasan berkenaan pada pukul 3 pagi Sabtu.

Mereka didapati bergerak dalam kumpulan seramai 30 hingga 40 orang dan sedang berlumba di kawasan berkenaan, kawasan yang sama yang meragut lapan nyawa remaja pada 18 Februari lalu.

Jururawat Nisa Arina Ruslan, 24, berkata beliau sering melihat sekumpulan penunggang basikal yang terdiri 10 hingga 15 orang berhampiran sebuah kedai mamak di Jalan Mahmoodiah, lebih kurang pukul 1 pagi apabila beliau bekerja syif malam.

"Penunggang basikal muda ini seolah-olah tidak sedar betapa bahayanya diri mereka apabila mereka berada di jalan raya selepas tengah malam," katanya, sambil menambah mereka akan bergerak dalam satu kumpulan dan berkeliaran di kawasan bandar sehingga subuh.

Kontraktor Ahmad Ayob, 56, berkata, sebelum kemalangan itu, penunggang basikal ini dilihat bergerak dalam kumpulan seramai lebih daripada 20 orang dan tempat-tempat kegemaran mereka biasanya di bandar.

"Sekejap sahaja selepas kemalangan itu, saya tidak lagi nampak mereka, tetapi beberapa hari lalu saya terserempak dengan lapan orang daripada mereka di kawasan Skudai pada lewat malam," katanya.

Seorang lagi pengguna jalan raya Nur Anis Maressa Esa, 26, berkata Mat Lajak menjadi satu 'gangguan' di lebuh raya berhampiran kawasan Danga Bay.

"Remaja ini meletakkan nyawa mereka dalam bahaya kerana lebuh raya adalah tempat di mana kebanyakan pemandu memandu laju," katanya.

Ketua Polis Daerah Johor Bahru Selatan Asisten Komisioner Sulaiman Salleh berkata tangkapan terbaru ini menunjukkan nasihat polis sebelum ini ibarat 'mencurah air ke daun keladi'.

Beliau berkata, wang mungkin menjadi salah satu pendorong utama sehingga kumpulan berbasikal ini sanggup membahayakan nyawa dengan berlumba.

Sulaiman yang jelas kecewa dengan perbuatan kumpulan remaja terbabit turut mengeluarkan amaran untuk mengambil tindakan terhadap ibu bapa yang berkenaan.

"Mereka boleh diambil tindakan di bawah Seksyen 33 Akta Kanak-kanak 2001 kerana membiarkan kanak-kanak tinggal tanpa pengawasan yang jika sabit kesalahan boleh didenda tidak melebihi RM5,000 atau dipenjarakan tidak melebihi dua tahun," katanya.

Beliau berkata polis tidak teragak-agak berbuat demikian jika keadaan mendesak kerana isu itu tidak boleh diserahkan kepada polis semata-mata.

Mengenai kumpulan remaja yang ditahan, Sulaiman berkata mereka merangkumi 20 remaja lelaki dan dua perempuan dengan 14 daripada mereka adalah penunggang basikal manakala baki merupakan penonton.

"Hasil siasatan mendapati 15 remaja yang ditahan merupakan pelajar sekolah dan tujuh daripadanya tidak lagi bersekolah.

"Mereka ini berhubung menggunakan media sosial dan datang dari serata kawasan termasuk Desa Cemerlang, Seri Alam, Kempas, Skudai, Johor Bahru Utara, Kangkar Pulai, Iskandar Puteri dan Taman Daya Johor Bahru," kata Sulaiman.

Beliau turut mendedahkan sepanjang tahun lalu pihaknya menjalankan 28 operasi dan menahan 27 remaja penunggang basikal.

Selain itu, lima operasi dijalankan dengan 17 penunggang basikal ditahan sebelum kejadian yang meragut lapan nyawa tersebut, katanya.

Tags / Kata Kunci: Mat Lajak , penunggang basikal , JOhor Bahru

iklan

Video

Jumaat, 17 November 2017 4:25 PM

Tokan Kantoi Bungkus Dadah Dalam Plastik Teh

Jumaat, 17 November 2017 2:00 PM

Pesawat Dedah Punca Menyepi

Jumaat, 17 November 2017 9:00 AM

#akuStar: Hyper Act - Kasih

Khamis, 16 November 2017 2:00 PM

“Kalaulah Diberi Watak Utama...” - Riz Amin

Khamis, 16 November 2017 9:05 AM

Tak Tipu! Rawang Bypass Memang Gayat

Khamis, 16 November 2017 9:00 AM

Sufi Tak Mampu Tolak Haqiem Rusli

Rabu, 15 November 2017 9:00 AM

Bakat Mafarikha Tersia-sia Enam Tahun

Selasa, 14 November 2017 2:00 PM

Nasi Kandar 3 Jam!

Selasa, 14 November 2017 9:00 AM

“Penat..Tapi Best!” - Nad Zainal

Kolumnis

iklan

Iklan