Perlindungan Kecemasan Bagi Mangsa Keganasan Rumah Tangga

Diterbitkan: Isnin, 3 April 2017 3:43 PM

Rohani Abdul Karim.

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: Pegawai kebajikan masyarakat akan diberi kuasa untuk mengeluarkan perintah perlindungan sementara (ex-parte) kepada mangsa keganasan rumah tangga jika sesuatu kes berlaku di luar waktu pejabat seperti hujung minggu, kata Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Rohani Abdul Karim. 

Katanya, kuasa mengeluarkan segera Perintah Perlindungan Kecemasan (EPO) itu, yang sah laku selama satu minggu, terkandung dalam Rang Undang-Undang Keganasan Rumah Tangga (Pindaan) 2017.  

"Dalam pindaan ini, kalau kes itu berlaku pada hujung minggu, hanya hubungi JKM dan kami akan keluarkan EPO selain meminta kerjasama polis untuk menyampaikannya," katanya pada sidang media di Parlimen pada Isnin.

Pindaan rang undang-undang itu yang dibentang untuk bacaan kali pertama di Dewan Rakyat pada Isnin, antara lain turut memberi hak pengasingan kediaman atau penghunian eksklusif kediaman bersama kepada mangsa. 

"Si pelaku diminta untuk keluar dari rumah tersebut, tidak boleh tinggal serumah, selama satu minggu. Ada masa untuk 'cooling period' supaya memberi satu perasaan selamat kepada mangsa," katanya. 

Rohani berkata, pindaan dilakukan memandangkan peningkatan kes keganasan rumah tangga masa kini dan bertujuan mempertingkatkan perlindungan kepada mangsa dan membantu memulihkan institusi kekeluargaan.

"Malah statistik Polis Diraja Malaysia dari 2014 hingga 2016 menunjukkan sebanyak 15,617 kes keganasan rumah tangga telah dilaporkan termasuk 26 peratus membabitkan mangsa lelaki," katanya.

Rohani berkata, pelanggaran perintah tersebut akan menyebabkan pelaku boleh dihukum denda RM4,000, satu tahun penjara atau kedua-duanya manakala bagi pelanggaran kali kedua denda sebanyak RM5,000, sekurang-kurangnya 72 jam penjara dan tidak melebihi dua tahun atau kedua-duanya. 

Katanya, ketika ini kuasa memberi perlindungan terhadap keselamatan diri mangsa dikeluarkan oleh mahkamah iaitu Perintah Perlindungan Interim (IPO) dan Perintah Perlindungan (PO).

Pindaan akta juga bertujuan memperluas takrif 'keganasan rumah tangga' dengan memperuntukkan tiga lagi hal keadaan keganasan rumah tangga yang boleh berlaku. 

Ia merangkumi menggelapkan harta mangsa yang menyebabkan mangsa mengalami kesedihan kerana kerugian wang; mengugut mangsa dengan niat menyebabkan mangsa takut akan keselamatan dirinya dan pihak ketiga atau hartanya serta mengaibkan mangsa melalui apa-apa cara termasuk elektronik. 

Turut dibentang untuk bacaan kali pertama ialah rang undang-undang Kanun Keseksaan (Pindaan) 2017 yang bertujuan memperluas hukuman di bawah Seksyen 326A Akta 574 bagi mereka yang menyebabkan kecederaan kepada bekas suami atau isterinya, kanak-kanak dan sebagainya.

Rang Undang-Undang Perlindungan Pengguna (Pindaan) 2017 juga dibentang pada Isnin, bertujuan melindungi pengguna yang membeli barang secara urus niaga jualan kredit dan mengurangkan hutang isi rumah yang disumbangkan melalui urus niaga sama. 

Antara lain ia mencadangkan supaya penolong pengawal diberi kuasa mengambil dan memegang simpan milikan mana-mana dokumen diperoleh serta mengarah mana-mana pihak untuk memberi akses kepada buku, rekod atau dokumen bagi maksud menjalankan mana-mana fungsinya. 

Juga dibentang untuk bacaan kali pertama ialah pindaan Akta Cukai Aktiviti Perniagaan Labuan (Pindaan) 2017 yang bertujuan meminda Seksyen 21 untuk memperuntuk secara khusus penalti denda tidak melebih RM1 juta atau penjara tidak melebihi dua tahun atau kedua-duanya bagi pelanggaran mana-mana peraturan di bawah akta tersebut. - Bernama

iklan

Video

Jumaat, 22 September 2017 2:00 PM

Ella Gamit Kenangan Bersama The Boys

Jumaat, 22 September 2017 9:00 AM

#akuStar: Andi Bernadee - Tiada Lagi Maaf

Khamis, 21 September 2017 2:00 PM

Monoloque Tak Habis-Habis Nak Sindir Orang!

Khamis, 21 September 2017 9:00 AM

Popular? Tolak Tepilah! - Bob (AF2)

Rabu, 20 September 2017 4:00 PM

Irfan Haris Nafi Tumpang Populariti Kakak

Selasa, 19 September 2017 2:00 PM

Keluh-Kesah Jalil Hamid

Selasa, 19 September 2017 9:00 AM

Kau Buat #OOTD Pun Riaklah! - Wak Doyok

Isnin, 18 September 2017 2:30 PM

Belum Masa Gantung Skrip – Naim Daniel

Kolumnis

iklan

Iklan